KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman tentang laporan yang mendakwa usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat melarikan diri ke Thailand dengan menggunakan kontena di Padang Besar, Perlis.
KTMB berkata, kontena-kontena kargo yang digunakan ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan-pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.
“KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut sama ada kontena kosong atau bermuatan.
“Fasiliti dan terminal kargonya di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya di laman Facebook hari ini.
Tambah KTMB, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara di sempadan.
“Proses ini melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan.
“Walaubagaimanapun, KTMB akan menjalankan siasatan dalam mengenai perkara yang dilaporkan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette