KUALA LUMPUR – Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September ini dan berterusan sehingga awal bulan November.
Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun barat daya yang bermula sejak 19 Mei lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, semasa fasa peralihan monsun ini, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, amat sesuai berlaku ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat dan angin kencang dalam masa singkat.
Kejadian ini berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca. – MalaysiaGazette