KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Nur Sajat dikatakan telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Thailand di sebuah kondominium mewah di tengah Bangkok pada 8 September lalu.
Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dikatakan ditahan selepas mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia berkaitan keberadaan Sajat di Bangkok.
Memetik laporan Harian Metro Online, Sajat, 36, ditahan bersama seorang transgender warganegara Thailand.
“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar pukul 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.
“Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak Imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.
“Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” demikian menurut sumber seperti dilaporkan laman portal berkenaan.
Katanya, Sajat ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen dan didakwa di mahkamah pada 9 September.
Dia bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat oleh kenalannya.
Sajat turut diarah melapor diri kepada pihak imigresen Thailand setiap 14 hari.
Laporan itu turut menyebut bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini. – MalaysiaGazette