Home Nasional Siasat penjualan cecair kimia untuk semburan nano – CAP

Siasat penjualan cecair kimia untuk semburan nano – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat penjualan cecair kimia yang digunakan untuk alat semburan pembersih nano (nano spray gun) secara terbuka.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat penjualan cecair kimia yang digunakan untuk alat semburan pembersih nano (nano spray gun) secara terbuka.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sebilangan besar penjual tidak menyatakan bahan digunakan pada label cecair kimia tersebut sekali gus mencetuskan faktor keselamatan penggunaannya.

Jelas beliau, sesetengah cecair yang dijual tidak mempunyai label amaran yang betul termasuk arahan pengendalian, nama pengeluar serta bahan dan kepekatannya.

Malah, ada juga yang menyebut bahan aktif itu terbukti melawan virus yang disenaraikan dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Alam Sekitar Nasional dan KKM.

“Pihak CAP bimbang penjualan cecair kimia secara meluas ini mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai ini kerana seseorang itu mungkin mempunyai tindak balas kesan sampingan terhadap bahan kimia tertentu memandangkan bahan kimia ini bergantung kepada jangka masa pendedahan serta kepekatannya.

“Sebagai contoh, orang ramai menggunakan alat semburan itu untuk menyembur cecair aerosol ke seluruh badan mereka namun mereka tidak tahu penyedutan aerosol mungkin boleh memudaratkan sistem pernafasan atau mungkin mereka tersentuh mata dan mulut sendiri.

“Terdapat peniaga yang mendakwa bahawa cecair yang mereka jual ini cukup selamat untuk disembur ke seluruh badan tetapi sekiranya jadi apa-apa kita tidak tahu siapa yang perlu dipertanggungjawabkan kerana tiada maklumat siapa dan di mana cecair ini disediakan dan dibotolkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, CAP sekali lagi mengulangi gesaan kepada KKM khususnya untuk menyampaikan maklumat secepat mungkin mengenai alat semburan pembersih nano dan cecair pembersih yang digunakan untuk alat itu.

“Ini penting kerana orang ramai mungkin berkongsi maklumat alat penyemburan itu secara tidak sengaja melalui media sosial kerana tidak tahu kesahihan penggunaanya.

“Adalah amat berguna sekiranya ia boleh didapati dalam bentuk Soalan Lazim (FAQ) agar orang awam dapat memahaminya,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette