Home Ekonomi BDBMBI bangun projek komersial Langkawi dengan GDV RM817 juta

BDBMBI bangun projek komersial Langkawi dengan GDV RM817 juta

Lakaran artis Premium Oulet yang bakal dibangunkan di Langkawi oleh BDBMBI.

KUALA LUMPUR – BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal membangunkan projek pembangunan komersial bersepadu di Langkawi dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM817 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Menurut Faris Najhan, projek berkenaan dibahagikan kepada beberapa fasa dan BDBMBI akan memfokuskan kepada pembangunan Fasa 1 dan 2 terlebih dahulu manakala baki fasa adalah untuk pembangunan pada masa hadapan.

Lakaran artis projek komersial oleh BDBMBI di Langakwi.

Jelas beliau, keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.

Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ di mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau ‘fine-dining’ serta ‘coffee house’ akan mula dibangunkan pada Oktober 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2022.

Fasa ini juga akan melibatkan pembinaan 37 unit outlet perniagaan yang di kawasan seluas 4.07 ekar.

Projek ini dijangka membuka hampir 100 peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan sehingga hari ini, hampir 90% usahawan di sekitar Langkawi serta Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penglibatan mereka dalam perniagaan di Fasa 1,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet antara BDBMBI dan LADA yang disaksikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di sini.

BDBMBI adalah syarikat usaha sama antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Untuk rekod, pada 20 November 2019, LADA telah menganugerahkan surat tawaran kepada BDB untuk membangunkan pembangunan komersial bersepadu di kawasan seluas 24.27 ekar di Padang Matsirat.

Enam bulan kemudian iaitu pada 6 Mei 2021, BDB ditawarkan surat tawaran yang telah dikemaskini untuk membangunkan kawasan yang lebih besar iaitu seluas 40.975 ekar.

Jelas Faris Najhan lagi, Fasa 2 yang juga merupakan ‘Jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Premium Outlet’ di atas kawasan seluas 29 ekar yang akan bermula pada Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024.

”BDBMBI juga yakin pembangunan Fasa 2 akan merancakkan lagi ekonomi di Langkawi dengan menawarkan hampir 1,400 peluang pekerjaan kepada penduduk Langkawi khususnya dan penduduk Kedah dan membantu mengatasi masalah pengangguran di negeri ini. – MalaysiaGazette