Home Pendapat Ke arah Malaysia yang lebih adil, peduli dan inklusif

Ke arah Malaysia yang lebih adil, peduli dan inklusif

Peralatan peralatan Personal Mobiliti Aids yang digunakan OKU dilarang digunakan di atas jalan raya. Gambar hiasan

RUKUN Negara meletakkan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang terdapat perpaduan yang erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisinya dan membina satu masyarakat yang progresif. Satu aspek yang penting yang perlu ada bagi menjamin pencapaian aspirasi ini adalah wujudnya suatu suasana kesamarataan peluang bagi semua anggota masyarakat untuk
mencapai yang terbaik bagi diri mereka tanpa mengira latar belakang dan kekangan yang
menimpa mereka.

Setiap anggota masyarakat berhak memperoleh suatu tahap minimum dalam mengecapi
kemakmuran dan kesejahteraan negara ini, dan sepatutnya tiada pihak dikesampingkan.
Dua daripada golongan yang paling kurang bernasib baik dalam masyarakat ialah mereka
yang kurang mampu dari segi ekonomi seperti golongan fakir, miskin dan berpendapatan
rendah, dan mereka yang kurang upaya dari segi fizikal dan mental seperti orang buta,
pekak dan tuli, mereka yang cacat anggota dan mereka yang mengalami masalah seperti
sindrom Down, autisme dan seumpamanya. Yang paling rentan ialah yang termasuk ke
dalam kedua-dua kategori tersebut.

Sebuah masyarakat yang adil, demokratik dan progresif tidak akan meninggalkan mana-
mana anggotanya dalam mengejar kemajuan. Ia akan sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang di antara yang bernasib baik dengan yang paling rentan bagi memastikan kesemuanya dapat bergerak sama ke hadapan. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Malaysia meningkat daripada 5.6 peratus pada tahun 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Negeri-negeri dengan kadar kemiskinan yang tinggi ialah Sabah (25.3 peratus) dan Kelantan (21.2 peratus). Dalam kalangan golongan yang kurang mampu, golongan miskin bandar ialah antara golongan yang paling terkesan apabila pandemik Covid-19 melanda, terutamanya mereka yang bergantung kepada upah harian. Perintah kawalan pergerakan yang dikenakan mengehadkan keupayaan mereka untuk menjana pendapatan bagi menyara diri dan keluarga. Ramai yang terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan atau ihsan pihak lain, seperti yang diusahakan melalui kempen bendera putih dan usaha badan-badan kebajikan.

Statistik menunjukkan bahawa pandemik yang berlarutan selama setahun setengah telah
menyebabkan bilangan mereka yang berada di bawah tahap kemiskinan meningkat
mendadak, termasuk golongan M40 yang turun ke B40. Namun, tidak sewajarnya mereka
perlu berterusan sebegini dan perlu diupayakan supaya dapat mandiri. Selain daripada keadaan yang bertambah buruk semasa pandemik, antara isu-isu yang harus direnung oleh semua pihak dalam menangani isu miskin bandar ialah perumahan, pengangkutan atau mobiliti, dan pembangunan sosial termasuk pendidikan.

Golongan berpendapatan rendah seharusnya tidak ditolak keluar dari kawasan bandar raya atau ditempatkan dalam ghetto yang tidak kondusif untuk pembangunan sosial.
Suatu polisi perancangan bandar yang lebih ramah kepada golongan marhaen perlu
diketengahkan, mengelakkan pusat bandar hanya menjadi tempat tumpuan golongan
atasan dengan penempatan mewah sahaja. Bandar raya sepatutnya menjadi lebih inklusif
dari segi kependudukannya.

Di samping perumahan mampu milik atau sewa, suasana kehidupan yang sesuai untuk
perkembangan pemikiran dan pendidikan kanak-kanak golongan rentan perlu disediakan.
Kediaman yang sempit dan padat sepatutnya digantikan dengan kediaman yang dapat
menjaga maruah atau harga diri penduduknya, serta menyediakan infrastruktur komuniti
yang baik seperti ruang riadah dan bersosial, kemudahan pembelajaran dan kemudahan
Internet.

Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pula, langkah yang lebih bersungguh-sungguh
untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat seluruhnya perlu dilaksanakan.
Ketidakupayaan mereka dalam sesuatu aspek tidak seharusnya menyekat mereka
menyerlahkan bakat dan kecemerlangan mereka dalam aspek yang lain. WHO menganggarkan bahawa 15 peratus manusia mengalami satu bentuk ketidakupayaan
walaupun statistik rasmi menunjukkan hanya sebahagian kecil daripada ini didaftarkan,
mungkin kerana mereka sendiri tidak mengenali ketidakupayaan mereka.

Dalam membantu golongan OKU, suatu yang selalu dilupakan ialah pandangan dan
pemikiran mereka sendiri. Senator Datuk Ras Adiba Radzi menegaskan hal ini dengan
menyebut, “Tingkatkan penglibatan OKU dalam apa-apa hal yang melibatkan OKU. Nothing about us without us (tiada apa tentang kami tanpa kami).” Keprihatinan sahaja tidak cukup, tetapi perlu disalurkan agar dapat mencapai sasaran berdasarkan keperluan golongan OKU. Salah satu daripada cadangan progresif untuk membantu golongan OKU ialah menaikkan kedudukan badan kerajaan yang menangani isu OKU yang kini dikendalikan oleh Jabatan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hakikatnya, isu OKU bukan hanya isu pemberian bantuan, tetapi juga merangkumi falsafah dan cara fikir menanggapi ketidakupayaan secara menyeluruh, apatah lagi isu ini melibatkan sebahagian yang agak besar dalam masyarakat. Di beberapa negara maju seperti New Zealand, terdapat seorang menteri yang menyelaras isu-isu OKU merentas keseluruhan jentera kerajaan. Dalam kita menyambut Hari Malaysia tahun ini, marilah kita anjakkan paradigma kita agar Malaysia yang kita bangunkan adalah Malaysia yang adil, peduli dan lebih inklusif, termasuk terhadap dua golongan yang yang selalu dilupakan ramai ini.

Semoga mereka tidak dicicirkan dalam arus pembangunan yang sering mengabaikan
kepentingan dan penglibatan mereka.

Selamat Hari Malaysia!

Oleh: Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif
Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia &

Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi
Ketua Unit OKU
Yayasan Ikram Malaysia