KUALA LUMPUR – Kekurangan semasa dalam tabungan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia memerlukan perhatian serius dan mendesak sebelum menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa akan datang.
Ketika memberi amaran itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, lebih ramai populasi perlu digerakkan bagi memanfaatkan produk pelaburan alternatif berdasarkan pilihan risiko untuk masa depan mereka, sebagai sokongan kepada simpanan persaraan wajib.
“Ini memerlukan pendekatan holistik bagi meningkatkan literasi serta kesedaran pelabur, akses dan pilihan pelaburan, keyakinan pelabur termasuk perlindungan pelabur di pasaran modal,” kata SC dalam laporan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) yang dikeluarkan hari ini.
Pada masa ini, lebih kurang 40 peratus penduduk Malaysia dianggarkan tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial dan banyak yang berada di bawah sistem persaraan formal dijangka menghadapi dana yang tidak mencukupi bagi persaraan.
Masa depan pekerjaan, yang telah banyak berubah berikutan pandemik telah menyaksikan pertumbuhan yang signifikan dalam bekerja sendiri dan pekerja ekonomi gig, ini menambah lagi cabaran dalam sistem simpanan persaraan.
“Jika dibiarkan, masalah jurang yang lebih besar antara simpanan persaraan dan keperluan sebenar akan menyeret ekonomi ke belakang dalam beberapa dekad mendatang, disebabkan kerajaan terpaksa campur tangan bagi merapatkan jurang pendanaan.
“Sistem persaraan Malaysia, seperti kebanyakan sistem pencen global, akan berhadapan dengan tekanan yang signifikan untuk menghasilkan pulangan tinggi daripada simpanan yang ada agar mampu memenuhi keperluan persaraan masa depan.
“Ini berdasarkan kepada jangkaan pulangan aset yang lebih rendah di masa hadapan, selepas melihat kepada penurunan pulangan pelaburan termasuk anggaran kadar diskaun oleh skim pencen global sejak sedekad yang lalu,” katanya.
Menurut SC, usaha mencari pulangan berkemungkinan akan mendorong skim persaraan ke arah pelaburan dalam aset alternatif yang lebih berisiko bagi pihak pencarumnya atau menyebabkan ahli menuntut untuk menarik dan melaburkan simpanan persaraan mereka ke dalam instrumen lain yang menawarkan pulangan lebih baik. – MalaysiaGazette