KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu, kos haji untuk musim 2022 dijangka meningkat disebabkan kadar inflasi dan perkembangan terkini peraturan haji oleh kerajaan Arab Saudi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shary berkata, kenaikan itu melibatkan hal berkaitan dengan SOP yang ditetapkan kerajaan itu susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.
Katanya, ianya termasuk keperluan ujian saringan dan suntikan vaksin untuk bakal jemaah haji Malaysia masuk ke Arab Saudi serta penjarakan fizikal dalam bas, bilik penginapan hotel dan khemah ketika menunaikan haji.
“Bagaimanapun, Lembaga Tabung Haji (LTH) akan memaklumkan kos haji pada musim 2022 apabila dimuktamadkan nanti,” katanya dalam sesi menjawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) sama ada kos mengerjakan haji dan umrah akan meningkat dalam fasa endemik COVID-19 selain peningkatan kos yang dijangkakan.
Mengenai operasi umrah, Ahmad Marzuk berkata, LTH masih lagi menunggu kebenaran dari kerajaan Malaysia untuk memulakan atau membenarkannya.
Menurut beliau, sebagaimana dimaklumkan, operasi umrah boleh dilaksanakan pada hujung tahun ini.
“Untuk itu, kita masih lagi merangka beberapa SOP yang perlu dan juga beberapa syarat yang diperlukan untuk melaksanakan umrah,” katanya. – MalaysiaGazette