Home Nasional NGO Dayak mahu Dana Khas dalam Bajet 2022

NGO Dayak mahu Dana Khas dalam Bajet 2022

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Dayak Sabah dan Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan untuk memberi peruntukan Dana Khas kepada kaum itu pada Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen hujung bulan depan.

Dalam kenyataan hari ini, gabungan itu mendakwa kaum Dayak tidak pernah diberi peruntukan khas seperti mana yang diterima Orang Asli, India dan Cina.

”Namun bagi kaum Dayak keadaannya amat mengecewakan, kewujudan kita bersama-sama dalam pembentukan Malaysia seolah-olah terus terpinggir dan tidak pernah ada dana peruntukan diagihkan kepada bangsa Dayak di Sarawak.

”Kita juga tidak pernah membaca peruntukan dana khas bagi kaum Dayak di Sabah.

”Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi peruntukan agihan kepada kaum di Malaysia. Kita tak boleh ada kaum yang ketinggalan dari segi agihan peruntukan, kerana ungkapan ‘kemakmuran bersama’ yang sentiasa disebut, perlu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia meliputi Orang Asal Sabah dan Sarawak,” kata gabungan yang mewakili 15 persatuan dalam satu kenyataan di sini.

Sedangkan, dakwa mereka, salah satu tuntutan penting menjadi asas rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan menjamin hak istimewa Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Tuntutan penting itu termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut ‘adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa Orang Asal Sabah dan Sarawak’.

Oleh yang demikian, kata gabungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mewujudkan peruntukan khas untuk kaum Dayak Sarawak.

”Kita percaya, geran persekutuan dan peruntukan sewajarnya sesuai dengan janji asal Perjanjian Malaysia (MA63) ketika Malaysia ditubuhkan dilaksanakan lebih telus.

”Sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi syarat-syarat Perjanjian Malaysia (MA63), bangsa Dayak haruslah diiktiraf secara rasmi dan digunakan dalam semua borang rasmi kerajaan menggantikan terma lain-lain ataupun Bumiputra Sabah/Sarawak,” ujarnya.

Tambah gabungan itu, pengiktirafan bangsa Dayak secara rasmi dalam urusan kerajaan bagi Sabah dan Sarawak adalah bertepatan pada masanya untuk mengantikan terma lain-lain yang kurang tepat.

Daripada lebih kurang 2 juta penduduk di Malaysia adalah dari suku kaum Dayak Sarawak dan Sabah.

Namun, dakwa mereka, Kerajaan Persekutuan belum pernah memperuntukkan Dana Khas bagi kaum Dayak Sabah dan Sarawak dalam mana-mana belanjawan.

”Di manakah kesilapannya? Kalau ianya kesilapan ataupun selama ini kita terlepas pandang. Ataupun peruntukan untuk kaum Dayak Sabah dan Sarawak selama ini…jika ada, cuma tidak pernah diumumkan?

”Ataupun, adakah peruntukan kaum Dayak terangkum dalam peruntukan kumpulan besar Bumiputera?

”Untuk kepastian, adalah lebih baik serta lebih bermakna jika Peruntukan Khas diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kaum Dayak di Sabah dan Sarawak bagi tujuan kesaksamaan, kesamarataan Tidak lama lagi, Kerajaan Persekutuan akan membentangkan Belanjawan 2022,” ujar gabungan tersebut.

Malah, gabungan itu berharap kerajaan Ismail Sabri membuat satu permulaan yang baik.

”Biarlah YAB Perdana Menteri melakar sejarah menjadi PM Malaysia yang pertama membuat Peruntukan Dana Khas bagi kaum Dayak Sabah dan Sarawak,” tambah mereka. – MalaysiaGazette