KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menanggung kos pembelian kit ujian kendiri Covid-19 untuk dibekalkan di semua sekolah berasrama penuh seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ujian menggunakan air liur itu akan dibuat terlebih dahulu di sebuah sekolah terpilih bagi sebuah negeri.
Jelas beliau, jika keputusan pelajar itu adalah negatif, mereka akan dibenarkan kembali ke sekolah berasrama.
“Kita akan sediakan kepada semua sekolah asrama penuh. Katakanlah sekolah asrama penuhnya berada di Kuala Lumpur dan murid ini berada di Terengganu, sekiranya mereka menaiki bas, kita akan kumpulkan mereka di salah sebuah sekolah asrama di Terengganu. Kita berikan kit kepada mereka untuk buat ujian, sekiranya negatif mereka boleh naik bas dan datang ke asrama.
“Kerajaan menanggung ujian kit untuk anak-anak yang akan masuk ke asrama dan juga kita akan sediakan kit ujian di semua sekolah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Radzi menambah, ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri akan dijalankan ke atas murid yang pulang ke sekolah asrama sepenuhnya dan asrama harian.
Kata beliau, untuk murid asrama sepenuhnya, ujian saringan akan dijalankan sebanyak tiga kali iaitu semasa pendaftaran masuk, hari keenam dan hari ke-14.
“Bagi murid asrama harian pula, ujian saringan akan dilaksanakan semasa pendaftaran masuk.
“Selain itu, kit ujian kendiri akan disediakan bagi kegunaan sekolah harian untuk membuat saringan awal sekiranya murid menunjukkan gejala ketika di sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette