Home Sukan Negeri Sembilan FC julang Liga Premier

Negeri Sembilan FC julang Liga Premier

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC (NSFC) muncul juara Liga Perdana selepas menewaskan PDRM FC 4-2 pada aksi terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban, malam tadi.

Kejayaan NSFC itu disambut dengan suasana ringkas dengan dihadiri kira-kira 300 orang termasuk membabitkan orang kenamaan, pegawai dan petugas, mereka menyaksikan detik bersejarah itu sejurus tamat perlawanan penutup tirai saingan.

Majlis penyampaian disempurnakan mengikut prosedur operasi stsndard (SOP) dengan trofi kejuaraan diambil sendiri kapten pasukan, Muhamad Zaquan Adha Abd Radzak di tempat khas dalam kawasan padang stadium.

Hadir sama menyaksikan upacara itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idris Al-Kadri dan Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Tembakan bunga api di luar perkarangan stadium kemudiannya turut diadakan sebagai meraikan kejayaan pasukan itu bersama kira-kira 500 peminat yang menunggu di luar stadium. – MalaysiaGazette