KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji keberkesanan pindaan baharu Seksyen 45A (1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang berkuat kuasa sejak 23 Oktober tahun lalu berhubung pemandu mabuk.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah diminta untuk melaksanakan kajian tersebut.
Katanya, keberkesanan mengenainya dilihat ke atas semua langkah intervensi yang dijalankan bukan sahaja oleh pihak kementerian tetapi semua pemegang taruh bagi menangani isu memandu di bawah pengaruh bahan terlarang memandangkan pindaan Rang Undang-Undang 333 yang telah dikuatkuasakan hampir setahun lalu.
“Kajian juga akan mengesyorkan lain-lain langkah intervensi dan kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu pemandu mabuk di masa depan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja berkaitan Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengikut Seksyen 45A (1), pindaan baharu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dewan Rakyat pada 26 Ogos tahun lepas, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 seksyen Akta 333 yang dibentang oleh Ka Siong pada Julai lalu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.
Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu. – MalaysiaGazette