Home Nasional Segera dakwa pihak lupus bahan kimia di Kampung Sri Aman

Segera dakwa pihak lupus bahan kimia di Kampung Sri Aman

Mazlan Sulor

SEELONG – Penduduk Kampung Sri Aman mengharapkan insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Selasa lalu dapat diselesaikan seadil mungkin.

Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Mazlan Sulor, 58, berkata, penduduk kampung terlibat juga mahukan pihak tidak bertanggungjawab dihadapkan kemuka pengadilan dengan segera.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bukan sahaja dirinya, malah penduduk berhampiran turut berasa fobia sehingga hari ini.

Beliau berkata, sebagai JPKK dan mewakili masyarakat di kampung itu berkata, mereka berasa bimbang sekiranya insiden itu dipandang remeh oleh pihak berkuasa.

“Memang jika boleh kita mahukan semua yang bersalah diheret ke mahkamah secepat mungkin, sebab kami bimbang ia akan berulang.

“Kami merayu pihak berkuasa ambil berat dan jangan lepaskan walau seorang pun yang terlibat untuk kes ini,” katanya ketika bercakap dengan MalaysiaGazette.

Khamis lalu,, lapan suspek yang direman bagi membantu siasatan kes pencemaran kimia di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini pada malam Selasa dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, keterangan mereka sudah lengkap diambil pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa sedang melengkapkan kertas siasatan dan dijangka mereka akan berdepan dengan pertuduhan, bila kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Sabtu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata, sembilan suspek terdiri daripada lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Seorang daripada mereka bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan lengkap diambil manakala lapan yang lain dikenakan tahanan reman.

Pada jam 8.30 malam Selasa, seramai 102 penduduk Kampung Baru Sri Aman dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia dari sungai berhampiran kampung tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan siasatan mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu. – MalaysiaGazette