KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengakui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah simpanan hari tua yang penting untuk survival rakyat pada kemudian hari.
Malah perbincangan dengan KWSP, organisasi itu menunjukkan data terkini bahawa rata-rata rakyat hanya boleh bertahan selama tiga tahun secara purata dengan jumlah simpanan KWSP yang mereka ada.
Namun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, dalam suasana kecemasan musim pandemik memerlukan pelbagai pendekatan mendesak untuk menangani masalah jaringan keselamatan sosial rakyat.
Menurutnya, jutaan rakyat yang hilang punca pendapatan akibat pandemik sama ada diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup dan pendapatan gaji hari yang terencat, menyebabkan perbelanjaan rakyat dan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.
Rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan (sewa rumah, ansuran kereta, bil-bil utiliti, kad kredit), pada masa sama tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak (PdPR) dan lain-lain.
Jelasnya, bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatian Rakyat, Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Khas Covid-19 sebelum ini amat terhad dan hanya memfokuskan kepada B40.
Ini menyebabkan ramai rakyat yang masih tercicir sedangkan mereka juga telah jatuh ke dalam kategori susah dan terdesak terutamanya golongan M40.
Justeru, demi kelangsungan hidup sekarang, membenarkan pengeluaran caruman daripada KWSP pasti akan melegakan ramai yang memang hakikatnya sudah sampai ke peringkat terdesak.
Tambahan pula, katanya, pengeluaran dengan jumlah yang terhad daripada simpanan hari tua KWSP seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra hanya untuk solusi jangka pendek bagi rakyat tidak terputus tunai di tangan dan melangsaikan komitmen yang tertunggak ketika pandemik ini.
Oleh sebab itu, Pemuda UMNO turut mengemukakan cadangan untuk tangani isu bagi menampung kembali kelompongan simpanan KWSP akibat pengeluaran musim kecemasan.
Antaranya meningkatkan kadar caruman wajib majikan untuk tempoh tertentu dan memperluaskan caruman ‘mandatory coverage’ termasuk kepada sektor informal seperti gig ekonomi, ujar Asyraf. – MalaysiaGazette