Home Utama Tiada hospital khusus rawat pesakit Covid-19 – Khairy

Tiada hospital khusus rawat pesakit Covid-19 – Khairy

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan hospital khusus bagi merawat pesakit Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya kerajaan akan mengekalkan hospital sedia ada bagi merawat jangkitan tersebut sama ada secara penuh atau hibrid di semua negeri.

“Saya tak boleh sebut berapa lama sebab kita berharap penurunan lebih banyak kes-kes kemasukan di hospital.

“Dengan itu, hospital-hospital hibrid yang mana sebahagian daripada wadnya diambil alih untuk menguruskan rawatan Covid-19 dapat dijadikan semula sebagai hospital biasa,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PKR-Kapar), Datuk Abdullah Sani yang meminta kerajaan menjelaskan apakah kerajaan dalam perancangan untuk menubuhkan hospital kekal khusus bagi Covid-19 dan peralatan yang cukup di setiap negeri untuk diasingkan dengan pesakit lain supaya tidak berlaku jangkitan berganda.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional bagi memobilisasikan kakitangan kesihatan ke negeri yang merekodkan peningkatan kes Covid-19.

Penubuhan pasukan itu bagi mengurangkan beban kerja petugas-petugas barisan hadapan yang bertambah akibat peningkatan kes.

Contohnya, petugas barisan hadapan dihantar seramai 223 orang ke Pulau Pinang, Kedah (156) dan Sabah (102).

“Apabila kita meningkatkan kapasiti katil modular unit rawatan rapi (ICU) atau hospital medan, ia memerlukan kerja tambahan dan saya sudah mengarahkan penubuhan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional ini.

“Kakitangan kesihatan ini akan bergilir-gilir ke negeri yang mengalami peningkatan kes bagi memastikan mereka tidak menghadapi kelesuan atau keadaan tidak terkawal akibat penambahan bebanan tugas,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan tambahan Ahli Patrlimen (PH-Kulai), Teo Nie Ching yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan kakitangan kesihatan susulan penambahan katil bagi rawatan Covid-19 di hospital.

Dalam pada itu Khairy berkata, sejumlah RM593 juta telah dibelanjakan KKM dalam tempoh dua tahun ini bagi peruntukan peralatan tambahan dalam rawatan Covid-19 termasuk penambahan katil ICU, ventilator dan kontena mayat. – MalaysiaGazette