Home Nasional Zahid tak pernah dijanjikan imuniti, kata pendakwaan

Zahid tak pernah dijanjikan imuniti, kata pendakwaan

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding hujahan akhir kes pendakwaan atas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah dijanjikan imuniti daripada didakwa oleh pihak pendakwaan dalam kes rasuah, pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi.

Imuniti yang dimaksudkan itu didakwa diberi selepas beliau memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwaraya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, imuniti itu tidak akan diberi sekiranya hasil siasatan mendapati kesalahan itu dilakukan oleh individu yang memberi keterangan.

Raja Rozela menjelaskan, tertuduh tidak boleh menuntut imuniti hanya kerana telah memberikan keterangan kepada SPRM berhubung kes tersebut.

“Yang Arif, Subseksyen 30 (7) Akta SPRM tidak menyediakan imuniti.

“Itu hanya pengecualian untuk budi bicara dari pihak pendakwaan bagi membantu sesetengah individu bantu siasatan, itu juga hanya terpakai kepada individu yang mendedahkan maklumat serta maklumat sulit atau dokumen serta dikenakan tindakan jenayah serta sivil.

“Antara objektif subseksyen ini adalah untuk memberi galakan kepada saksi memberi kerjasama dalam mendedahkan maklumat atau dokumen kepada SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan hujah akhir dalam kes rasuah melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Hujah Raja Rozela permohonan oleh tertuduh bagi mendapatkan imuniti tidak boleh didengar oleh Mahkamah Tinggi kerana perbicaraan jenayah dan tuntutan berkenaan tidak boleh digunakan sebagai pembelaan.

Prosiding dijangka akan bersambung esok.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette