GEORGE TOWN – Seramai 3,500 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di enam buah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini hari ini.
Pemberian vaksin itu membabitkan pelajar dari sembilan sekolah seluruh Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan perangkaan terkini Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) merekodkan seramai 37,000 pelajar berada dalam lingkungan usia tersebut.
“Malah, rekod Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan remaja berusia 16 hingga 17 tahun (pelajar dan bukan pelajar) di negeri ini adalah seramai 43,000 orang manakala mereka yang berumur antara 12 hingga 15 tahun 93,000 orang.
“Mengikut data JKNPP, seramai 780 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun beralamat tetap di negeri ini dan pelajar berasrama penuh di luar Pulau Pinang telah berjaya menerima suntikan vaksin.
“Kesemua proses berjalan dengan lancar yang mana janji temu diberikan menerusi aplikasi MySejahtera semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kon Yeow, bagi golongan pelajar (tanpa komorbid), janji temu vaksinasi adalah menerusi aplikasi MySejahtera membabitkan enam PPV sebagaimana diumumkan sebelum ini.
“Berdasarkan pengumuman (KKM) semalam, hanya remaja dan pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta dan remaja tidak bersekolah (bukan pelajar) dibenarkan walk-in bermula pada hari ini di empat PPV.
“Empat PPV terbabit ialah PPV SPICE Convention Centre; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; PPV Dewan Perda Convention Centre dan PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap. Proses untuk walk-in di kesemua PPV ini bermula pada jam 2 petang.
“Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, proses vaksinasi telah pun bermula menerusi janji temu di aplikasi MySejahtera di hospital-hospital terdekat berdasarkan alamat tempat tinggal para penerima,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette