Home Nasional Hospital medan di HPP dijangka beroperasi esok

Hospital medan di HPP dijangka beroperasi esok

Hospital Medan di tapak parkir Hospital Pulau Pinang dijangka beroperasi esok.

GEORGE TOWN – Hospital medan yang didirikan di pekarangan parkir kakitangan Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, bagi membantu hospital milik Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi penularan wabak Covid-19 dijangka beroperasi esok.

Hospital medan itu mampu menempatkan 100 katil bagi pesakit Covid-19 tahap empat termasuk empat katil bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dilengkapi kemudahan oksigen.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hospital yang dibangunkan dengan anggaran keluasan 2,300 meter persegi itu sudah siap 95 peratus serta dilengkapi pelbagai fasiliti.

Kerja-kerja pembinaan hospital medan dijangka selesai hari ini.

Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan ATM selaku Komander Hospital medan HPP, Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta KKM bagi memastikan fasiliti itu selamat sebelum digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Katanya, sebagai persediaan lebih teliti, latihan kebakaran akan diadakan pada petang ini dan memberi laluan kepada pihak jurutera bagi melakukan pemeriksaan sebelum beroperasi bermula esok.

Leftenan Kolonel Dr. Zamri.

“Kita juga akan lakukan kerja ‘terminal cleaning’ pada petang esok dan selama tempoh empat atau lima jam dan selepas dibersihkan, tiada sebarang pergerakan dibenarkan di dalam kawasan hospital medan bagi menjamin kebersihan serta keselamatannya.

“Selepas semuanya selesai, hospital medan ini sudah bersedia bagi menerima pesakit Covid-19 dan kita jangka pesakit pertama akan dimasukkan esok pada jam 9 malam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Leftenan Kolonel Dr. Zamri (dua,kiri) mendengar taklimat daripada pegawai bertugas berhubung pembinaan Hospital Medan di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Menurut Dr. Zamri, bagi operasi, seramai lima pakar akan ditempatkan di hospital medan berkenaan selain 54 pegawai perubatan serta 250 yang terdiri daripada jururawat, pembantu pegawai perubatan dan staf sokongan.

“Penubuhan hospital medan ini membabitkan seramai empat pegawai dan 50 anggota ATM, tetapi kita juga memerlukan sokongan bantuan daripada segi kerja sivil, mekanikal dan elektrikal daripada pihak lain seperti kontraktor dan jurutera daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan HPP.

Sebanyak 100 katil ditempatkan di hospital medan itu.

“Selain itu, hospital medan ini juga dilengkapi dengan internet, telefon serta 32 buah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” tambah beliau.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, pembinaan hospital medan di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) dibuat bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di negeri itu.

Jelas beliau, ia susulan jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat di Pulau Pinang disamping memberikan perkhidmatan sokongan kesihatan di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette