KUALA LUMPUR – Tuntutan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) agar pekerja ekonomi gig diiktiraf sebagai pekerja yang dilindungi bukan perkara baharu.
Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata, sebaliknya pengiktirafan itu telah dilakukan banyak negara di dunia ketika ekonomi gig mula berkembang pesat tahun lalu.
“Kita mencadangkan status individu terbabit E-Hailing dan P-Hailing diiktiraf sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.
“Ini kerana pekerja di Malaysia ini dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia.
“Kita bukan negara pertama nak buat (iktiraf pekerja), tidak, ia telah dilakukan di negara-negara lain,” katanya ketika bersiaran secara langsung di SKOP MG bertajuk Majikan Cekik Darah: Nasib Rider Tiada Siapa Peduli malam tadi.
Jelasnya, Amerika Syarikat antara negara di dunia terawal mengiktiraf pekerja ekonomi gig apabila California meluluskan Assembly Bill 5 (AB5) pada 1 Januari 2020.
“Langkah itu diikuti dengan syarikat Uber di United Kingdom pada Mac 2021 yang memberi status pekerja kepada 70,000 penghantar malah diberi cuti berbayar dan pencen.
“Di Spain pula, ada undang-undang penghantar bermula September 2020, di mana syarikat Globo mengiktiraf pekerja ekonomi gig ini sebagai pekerja.
“Di Switzerland pun sudah buat pada Jun 2020, Uber adalah majikan, penghantar adalah pekerja,” katanya.
Fairuz juga berkata, tuntutan yang dibawa Penghantar kepada pihaknya supaya perkara itu disampaikan kepada pihak kerajaan mempunyai asas dan tidak mustahil untuk dilaksanakan.
“Di Malaysia, kita sudah ada gaji minimum, sebulan RM1,200 atau sejam RM5.77 tapi itu pun tiada, mereka tidak letakkan gaji minimum dalam pekerja-pekerja ekonomi gig.
“Maknanya di Malaysia kalau difikirkan benda ini ada asasnya dan kita bukan negara pertama, bila kita nak iktiraf mereka sebagai pekerja, seolah-olah kita menindas operator, bukan.
“Di dunia, di tempat lain memang sudah ada pengiktirafan kepada pekerja ekonomi gig, jadi saya anggap apa Penghantar bawa ini ada asas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette