Home Nasional Keganasan rumah perlu ada penyelesaian – Mohana

Keganasan rumah perlu ada penyelesaian – Mohana

Datuk Mohana Muniandy 

KUALA LUMPUR – Keganasan rumah tangga terhadap wanita bukanlah suatu masalah individu tetapi masalah masyarakat umum yang perlu ditangani secara serius.

Ia menjejaskan kesejahteraan psikologi dan mengancam keselamatan mangsa.

Malahan pandemik Covid-19 juga menyebabkan kes keganasan rumah tangga melonjak naik sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PK) dilaksanakan sejak dua tahun ini.

Hari ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mendedahkan hampir 10,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang PKP yang bermula Mac tahun lalu cukup membimbangkan.

Itu luahan bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Kata beliau, walaupun menunjukkan penurunan sebelum tahun berikutnya namun angka yang mencecah hampir 10,000 mengundang pelbagai rasa bimbang.

“Sudah lebih dua tahun negara kita berdepan pandemik. Sememangnya peningkatan ketara keganasan domestik serta penderaan mental dan seksual sepatutnya sudah boleh dijangka.

“Hakikatnya kerajaan ada inisiatif dengan menghebahkan kepada umum terutama sekali pada wanita dan kanak-kanak tentang bagaimana mereka boleh mendapat bantuan dan perlindungan.

“Lebih-lebih lagi bagi wanita yang tiada sumber kewangan sendiri namun mungkin sudah tiba masa untuk berfikir kaedah-kaedah lain juga.

“Antaranya dengan tambah baik garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga selaras komitmen kerajaan mengatasi isu berkenaan.

“Ini boleh menjadi rujukan kepada mangsa bagi mengenal pasti hak dan memudahkan mereka mendapatkan perlindungan.

“Kita tidak boleh berdiam diri lagi, saya telah mengendalikan pelbagai kes keganasan rumah tangga untuk berbelas tahun, sehingga kini kita masih lagi berdepan dengan keadaan runcing dan menakutkan kerana ianya tidak pernah ada solusi.

“Namun pada masa sama saya amat menghargai komitmen kerajaan yang sentiasa agresif dalam menangani isu ini pada setiap waktu,” katanya.

Dalam pada itu Mohana memohon supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas kepada barisan hadapan dalam memberi maklum balas kepada kes keganasan rumah tangga dapat dikemukakan kepada umum.

“Seperti kita maklum Wanita patut mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dan Perintah Perlindungan Interim (IPO) bagi melindungi diri selepas membuat laporan polis sebagai amaran kepada mereka sedang diawasi.

“Pihak berwajib bolehmenghasilkan pesanan khidmat masyarakat mengenai perkhidmatan tersedia bagi meredakan kebimbangan mereka terhadap akses yang boleh dihubungi.

“Ketika ini kita sedang berdepan dengan pandemik sungguh dasyat sekali semua pihak perlulah mengenal pasti siapa paling terpinggir dan berisiko,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lebih 9,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang PKP