Home Nasional Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu direhatkan – Majlis Presiden PH

Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu direhatkan – Majlis Presiden PH

Securities Commission SC trading account Chief Commissioner Malaysian Anti-Corruption Commission MACC Azam Baki Hasanah Abdul Majid MEIO
Azam Baki Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki perlu direhatkan daripada menjalankan sebarang tugas.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu wajar selepas tahanan reman dilakukan ke atas tiga pegawai kanan SPRM di atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

“Tahanan reman tersebut telah menimbulkan persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri.

“Kami berpandangan satu kertas siasatan perlu dibuka. Siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu itu.

“Kami turut berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang untuk menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini,” jelasnya.

Majls Presiden PH menyatakan demikian menerusi kenyataan bersama antara empat pemimpinya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Madius Tangau, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada 14 sehingga 19 September lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu. – MalaysiaGazette