Home Sukan Sultan Selangor, Raja Muda zahir sedih atas pemergian Ken Worden

Sultan Selangor, Raja Muda zahir sedih atas pemergian Ken Worden

Kredit: Selangor Royal Office

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Tengku Amir Shah menzahirkan rasa sedih dan simpati di atas berita kematian bekas jurulatih pasukan bola sepak Selangor, Ken Worden.

Menerusi hantaran di Instagram Selangor Royal Official, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang Ken Worden dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam dalam masa yang sukar ini.

Mendiang Ken Worden dilahirkan di Preston, England dan meninggal dunia kelmarin di Australia pada usia 78 tahun.

“Ketika memulakan tugas sebagai jurulatih pasukan bola sepak Selangor pada 1991, Ken Worden telah membawa pasukan Selangor menjulang kejuaraan Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

“Mendiang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 sehingga penghujung 1993, seterusnya kembali sebagai jurulatih Selangor pada tahun 1994 dan berjaya memimpin Selangor memenangi Piala Malaysia 1995 dan 1996,” menurut hantaran tersebut.

Selepas meneruskan karier kejurulatihan bersama beberapa lagi pasukan tempatan, mendiang sekali lagi kembali bersama The Red Giants untuk menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.

Di atas jasa dan bakti mendiang, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah mengurniakan darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) pada 1996.- BERNAMA