Home Akhbar Cina Daftar kelahiran kena tunggu sampai Februari tahun depan

Daftar kelahiran kena tunggu sampai Februari tahun depan

Pendaftaran bayi
Foto hiasan

SEBERANG PERAI – Pendaftaran kelahiran di bawah norma baharu mengkehendaki ibu bapa membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu.

Namun begitu, disebabkan jumlah urusan setiap hari dihadkan, keadaan itu menyebabkan orang ramai yang mempunyai anggota keluarga baharu perlu “berbaris panjang” untuk menunggu giliran.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, terdapat ibu bapa di Pulau Pinang yang perlu menunggu sehingga sebulan atau dua bulan, malahan ada yang perlu menunggu hingga Februari tahun depan.

Menurut akhbar itu, terdapat sepasang suami isteri yang cuba “berikhtiar” dengan membuat temujanji seminggu sebelum kelahiran anak pertama mereka, tetapi permohonan itu ditolak memandangkan anak belum dilahirkan.

Selepas kelahiran anak baru-baru ini, pasangan itu diberi tarikh 25 November, tetapi kemudian dimaklumkan bahawa tarikh temujanji diawalkan kepada 5 Oktober.

Jurucakap Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang memberitahu, pihaknya berusaha mengaturkan temujanji seawal mungkin termasuk menyusun semula slot yang tidak diisi kerana “mungkir janji” .

“Kami ada pegawai yang memantau keadaan pendaftaran dan akan menghubungi individu berkenaan sekiranya ada slot yang terluang,” katanya.

Wartawan yang menyemak sistem temujanji mendapati slot untuk September tahun ini hingga akhir Januari tahun depan sudah penuh.

Bagaimanapun, semakan kedua pada tengah hari juga mendapati terdapat slot yang terluang pada 23 September dan terbuka kepada temujanji.

Keadaan itu menunjukkan jabatan tersebut giat menyusun semula slot temujanji supaya orang ramai dapat melakukan pendaftaran kelahiran secepat mungkin. – MalaysiaGazette