PUTRAJAYA – Ciri ‘check-out’ dalam aplikasi MySejahtera akan ditambah baik bagi memastikan penggunaannya dapat dimantapkan.
Menyedari kritikan terhadap ciri baharu itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, niat mewujudkannya ciri itu adalah baik untuk mendapatkan maklumat lokasi yang lebih tepat dengan masa spesifik.
Namun beliau mengakui, sukar untuk mengadaptasikannya apatah lagi selepas meninggalkan sesebuah premis.
“Saya tahu ramai yang memberi komen tentang check-out ini. Saya sendiri telah tidur di pasar raya sebab lupa nak check-out.
“Kita akan melihat apakah kaedah terbaik untuk memastikan ciri check out ini dapat diguna dengan sempurna.
”Dari segi tingkah laku, semua tidak akan check-out MySejahtera ketika meninggalkan premis,” katanya ketika sidang media khas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.
Mengulas lanjut mengenai vaksin kepada remaja bawah 12 tahun, Khairy berkata, kementeriannya sudah memulakan rundingan untuk mendapatkan vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Katanya, beliau sudah meneliti syarat dengan pengeluar vaksin berhubung ujian klinikalnya ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.
“Kami sedang berunding untuk mendapatkan vaksin itu,” katanya namun tidak menyebut vaksin itu akan diperolehi dari syarikat mana.
Tetapi katanya, syarikat tersebut sekarang ini sedang membuat persiapan untuk menghantar data-data tersebut kepada semua badan regulatory utama dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.
“Tetapi mereka kata memerlukan sedikit masa mungkin bulan depan akan menghantar maklumat tersebut untuk dinilai oleh NPRA supaya vaksin tersebut dapat didaftarkan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” jelasnya.
Baru-baru ini Khairy berkata, beberapa buah syarikat telah menghantar ujian klinikal kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendapatkan kelulusan vaksin kanak-kanak di bawah 12 tahun. – MalaysiaGazette