Home Nasional PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi

PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi

Keluarga Malaysia menjadi tunjang kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan “dalam beberapa minggu lagi”.

Beliau berkata, ini kerana sehingga Rabu lepas (22 Sept) 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.

“Insya Allah, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri,” kata Ismail Sabri yang menyifatkan pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri itu sebagai sesuatu yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

“Kalau Rabu lepas sudah capai 81 peratus, maknanya sudah tidak lama lagi nak (boleh) rentas negeri. Jadi bolehlah balik ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya difahamkan ada yang sudah setahun tidak berpeluang berjumpa ibu bapa,” katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Rabu lepas Perdana Menteri dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya memutuskan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette