Home Nasional Food Bank Siswa bantu pelajar IPT kurang berkemampuan

Food Bank Siswa bantu pelajar IPT kurang berkemampuan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited untuk mempergiatkan usaha bagi membantu pelajar kurang berkemampuan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar mereka dapat memberi fokus lebih baik terhadap pembelajaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bantuan diberikan menerusi Program Food Bank Siswa susulan pengumuman mengenai kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober depan.

Katanya, Program Food Bank Siswa adalah satu inisiatif kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia yang telah diperkenalkan sejak 15 Februari 2019 yang bertujuan memberi bantuan makanan kepada pelajar yang memerlukan dan meringankan bebanan kos sara hidup ditanggung mereka.

“Program ini turut mengalu-alukan penglibatan pelajar terutamanya persatuan pelajar sebagai penggerak program yang mana boleh dijadikan sebagai platform bagi membentuk semangat dan budaya kesukarelawan dalam kalangan pelajar IPT.

“Sehingga 15 September 2021, Program Food Bank Siswa ini telah berjaya dilaksanakan di 27 buah IPTA, IPTS dan Politeknik di seluruh negara dan seramai 19,754 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif program ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan Program Food Siswa pada tahun ini, Alexander berkata, dua buah IPT iaitu Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) dan Politeknik Muadzam Shah, Pahang telah berjaya melaksanakan program tersebut.

Pada masa sama kata beliau, pihaknya sedang membuat persediaan bagi melaksanakan Program Food Bank Siswa di tiga buah IPT iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Management Science University (MSU), Shah Alam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Johor.

Ujarnya, pelaksanaan Program Food Bank Siswa itu menggunakan konsep Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) akan menyediakan tempat penyimpanan makanan kering untuk diagihkan kepada pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Pihak kementerian juga kata beliau, akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan usaha menjaga kebajikan pelajar akan terus dapat dipelihara melalui inisiatif program berkenaan selain dapat menguruskan program dengan lebih baik dan berkesan.

“Pihak KPDNHEP juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong Program ini khususnya kepada rakan strategik utama Program Food Bank Malaysia yang telah dilantik iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen, Mutiara Food Bank, Kumpulan Legasi Z Sufi, The Lost Food Project, Persatuan Kebajikan Usahawan Mikro Malaysia dan Nation of Women.

“Kementerian berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan tampil untuk menyokong kepada pelaksanaan Program Food Bank Malaysia ini agar terus dapat membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette