Home Nasional Harga Ayam Mula Turun: Penyelesaian Tuntas Masih Diperlukan

Harga Ayam Mula Turun: Penyelesaian Tuntas Masih Diperlukan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mekanisme libat urus yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) ternyata telah berjaya menstabilkan semula harga ayam yang naik mendadak awal bulan ini.

Kaedah mendekati peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam.

Setakat 20 September lalu, hanya 10 premis (1.74%) masih menjual ayam pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Pihak industri juga bersetuju menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar dan ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan sekaligus membantu pengguna untuk menikmati harga ayam pada harga yang berpatutan.

Namun tidak bermakna kedua-dua kementerian boleh menarik nafas lega kerana sentiasa ada pihak-pihak yang mencari ruang untuk menaikkan harga bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Kenaikan harga ayam bukan yang pertama pada tahun ini. April lalu harga ayam turut dilaporkan meningkat iaitu menjelang musim perayaan.

Sebab itu kedua-dua menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (KPDNHEP) dan Datuk Seri Dr Ronad Kiandee (MAFI) berikrar untuk memastikan kementerian masing-masing memantau rapi isu kenaikan harga ayam.

Malah Alexander sendiri menegaskan pendirian tidak teragak-agak meletakkan ayam di bawah harga kawalan biar pun langkah tersebut mungkin tidak popular namun tiada pilihan lain jika pihak-pihak tertentu terus berdegil menaikkan harga.

Kedua-dua kementerian akan melakukan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan menerusi sesi libat urus dengan semua pihak yang terbabit dalam isu harga ayam baik di peringkat peladang, pemborong, peniaga malah pengguna.

Ia bagi memastikan harga ayam di peringkat runcit stabil dan munasabah

KPDHEP giat menjalankan pemeriksaaan harga barangan basah.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz merumuskan kenaikan baru-baru ini bersifat sementara ekoran pembukaan semula sektor negara selepas kekangan pandemik Covid-19.

Untuk itu kaedah terbaik sedang diteliti supaya masalah kenaikan harga ayam dapat ditangani secara jangka panjang supaya pihak-pihak yang terbabit tidak mempunyai ruang untuk bertindak sesuka hati menaikkan harga.

Penyelesaian secara holistik sedang diusahakan oleh KPDHEP dan MAFI lantaran kenaikan harga ayam boleh berlaku apabila permintaan tertinggi terutamanya pada musim perayaan.

Sebarang keputusan dibuat perlu dipastikan mempunyai  impak kepada semua pihak yang terlibat termasuk industri lain dalam rantaian supaya ia bersifat adil dan saksama terutamanya kepada pengguna.

Harapan peniaga kepada kerajaan

Tinjauan MalaysiaGazette  di Pasar Seksyen 6 Shah Alam baru-baru ini mendapati rata-rata peniaga akur menurunkan harga ayam biar pun sebelum itu mereka menjual pada harga RM10 sekilogram.

Peniaga, Shahrul Nizam Ismail, 45, merayu kerajaan menerusi agensi berkaitan supaya menjalankan pemantauan dan siasatan di peringkat ladang pemborong bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

Shahrul Nizam Ismail

Menurut Shahrul Nizam yang sudah lebih 15 tahun mengusahakan perniagaan memahami masalah yang dihadapi pelanggan yang terpaksa membayar pada harga tinggi untuk mendapatkan ayam segar.

“Kalau ikut kita peniaga ini memang rasa terbeban kerana kos terlalu tinggi, biasanya kita akan jual antara RM8 hingga RM8.50 tapi bila kita jual antara RM9 hingga RM10 memang pembeli lagi rasa terbeban.

“Kita sendiri sebagai peniaga sudah rasa terbeban apatah lagi pengguna di luar sana. Jadi, kita minta kerajaan pantau lah situasi ini, kasihanlah pada kami dalam musim pandemik Covid-19 ini apabila harga barang melambung tinggi.

“Minta juga semua jabatan yang berkaitan siasat apa yang berlaku, di mana silapnya sama ada dari peniaga atau penternak,” katanya.

Keluhan Shahrul Nizam  sewajarnya mendapat perhatian KPDNHEP dan MAFI dalam menjejaki punca sebenar kenaikan harga ayam supaya sebarang mekanisme yang diperkenalkan kelak benar-benar berkesan dalam mengakhiri episod kenaikan harga.

Punca kenaikan harga ayam perlu diperinci

Punca sebenar kenaikan harga ayam sememangnya perlu dikenal pasti dan diperhalusi. Jika benar kenaikan berpunca daripada harga makanan ayam dan ubat-ubatan ayam yang mahal dan 80 peratus daripadanya terpaksa diimport, maka perkara ini juga perlu cari jalan penyelesaiannya

Laporan menunjukkan kos makanan ayam telah meningkat sehingga 75 peratus – satu kenaikan yang amat tinggi tentunya memberi kesan kepada para penternak dan tidak mustahil itu menjadi punca mereka menaikkan harga ayam.

Harga makanan ayam yang semakin mahal dikatakan antara punca kenaikan harga ayam.

Ini kerana kos ternakan ayam pasti meningkat apabila harga makanan ayam kini dijual pada RM1,400 setan metrik berbanding sekitar RM800 sebelum ini.

Kesan rantaian adalah harga borong dan runcit ayam segar terpaksa dinaikkan untuk menampung kos ternakan.

Persoalan yang timbul adalah berapakah margin kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penternak/pengeluar ayam apabila harga diturunkan semula setelah melonjak pada awal bulan ini.

Mengapa mereka akur menurunkan harga jika terpaksa menanggung kerugian? Atau sebenarnya mereka tidak rugi cuma untung yang diperoleh menurun sedikit berbanding sebelum ini?

Oleh itu, KPDNHEP dan MAFI juga badan yang bakal ditubuhkan untuk memantau serta menyelesaikan kenaikan harga ayam diharap dapat menyusun mekanisme yang memberi kemenangan kepada semua pihak.

Dakwaan wujudnya kartel anak ayam juga perlu dikenal pasti dan disiasat kesahihannya supaya selain faktor-faktor lain yang membawa kepada kenaikan harga ayam yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.

Kuasa pengguna jawapan sebenar

Seorang ibu pernah berkata, anaknya enggan makan jika tidak berlaukkan ayam.

Ayam sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia dan sentiasa ada dalam menu harian. Sumber protein ini menjadi makanan popular apatah lagi rangkaian makanan segera berasaskan ayam kini tumbuh umpama cendawan selepas hujan.

Faktor harga ikan yang semakin mahal juga mendorong rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan mempunyai keluarga yang besar menjadikan ayam sebagai sumber menu harian.

Seekor ayam boleh dipotong 18 cukup untuk memenuhi selera anak-anak malah adakalanya boleh dimasak lagi keesokan harinya.

Justeru apabila harga ayam meningkat, pengguna dilanda kerisauan kerana terpaksa mengehadkan jumlah pembelian tetapi dalam masa yang sama mulut yang perlu disuap tidak berkurangan.

Namun pengguna tidak boleh menyerahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa untuk menangani isu kenaikan harga ayam.

Pengguna juga mempunyai tanggungjawab yang besar, malah turun naik harga ayam amat bergantung kepada peranan kumpulan ini sebagai ‘mata-mata’ pihak berkuasa.

Pengguna perlu bijak memainkan peranan membuat pemantauan dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang peningkatan biar pada jumlah yang kecil.

Tanpa kerjasama pengguna, pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam bersandarkan pelbagai alasan akan terus berbuat demikian tanpa rasa bersalah.

Harapan pengguna kepada kerajaan amat tinggi dalam menangani isu kenaikan harga ayam tetapi pada masa yang sama mereka perlu mengorak inisiatif membuat perbandingan harga sebelum membeli bukan sahaja ayam malah apa-apa sahaja barangan keperluan asas.

Ini kerana masih ada premis atau penjual yang menawarkan harga berpatutan kepada pengguna, jadi terpulang kepada rakyat untuk menggunakan kuasa sebagai pembeli sebaik-baiknya.

Sikap terlalu bergantung kepada sesuatu premis perniagaan tanpa mahu berusaha menjenguk ke tempat lain harus dihentikan kerana ia amat merugikan pengguna itu sendiri.

Dalam suasana Malaysia dan dunia dilanda Covid-19, sememangnya diakui poket rakyat perlu dijaga kerana ramai yang terjejas mata pencarian akibat pandemik tersebut.

Nasib golongan peniaga juga perlu diberi perhatian, begitu juga dengan pengeluar dan pemborong supaya setiap pihak yang terlibat dalam rantaian harga ayam mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama.

— MalaysiaGazette