KUALA LUMPUR – Pemborong bukan penentu dalam meletakkan harga, tetapi bergantung kepada penternak sebagai rantaian pertama dalam isu harga ayam yang semakin mahal.
Pemborong Ayam Bismi Azahar Abd Ghani berkata, sering kali pihaknya dipersalahkan dan dilabel sebagai penentu harga kepada peniaga.
“Sebenarnya perkara itu tidak betul. Kami mangsa, bukan pemangsa. Penternak yang menentukan.
“Kita faham, ada ketika harga dedak dan anak ayam mahal, tetapi wajar ada pihak yang mengawalnya,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam ini dengan tajuk ‘Mahalnya ayam sekarang! Peniaga atau pemborong? Di Mana Kuasa Pengguna’.
Jelasnya, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) harus memastikan kawalan harga dedak dan anak ayam ini agar tidak berlaku sebarang kenaikan secara mendadak.
“Kalau tidak ada kawalan harga dedak dan anak ayam daripada satu pihak, perkara ini tidak akan terhenti.
“Makanan ayam diimport dari Thailand dan anak ayam juga diimport. Jadi ia harus dlihat dua elemen ini.
“Ayam ini ada rantaiannya dan punca haruslah daripada akar untuk memastikan tidak ada berlaku sebarang kenaikan yang tidak munasabah,” katanya lagi.
Jelasnya, andai rantaian itu tidak diperhalusi, perkara ini tidak akan berakhir.
“Saya faham apabila Covid-19, kilang tidak boleh beroperasi, kalau pun ada hanya 60 peratus sahaja pekerja dibenarkan.
“Saya pula ambil ayam Bismi di Kedah, dengan kes yang tinggi jadi ia menjadi kekangan yang hebat buat kami sebagai pemborong dan tertekan dengan kes ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ayam juga sebenarnya bergantung kepada permintaan dan ada kalanya permintaan tinggi namun bekalan ayam kurang menyebabkan pengguna mulai marah.
“Saya betul-betul berharap akan ada satu pihak yang boleh mengawal perkara ini agar tidak berterusan begini.
“Jika tidak, kita akan menghadapi perkara ini sepanjang masa dan ia tidak akan berkesudahan,” katanya.
Awal September lalu, harga ayam naik mendadak hingga ada yang melebihi RM10 bagi sekilogram.
KPDNHEP terus melaksanakan pemantauan dan mengeluarkan kompaun kepada peniaga yang menaikkan harga melebihi harga yang ditetapkan. – MalaysiaGazette