LONDON – Manchester City menewaskan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di tempat lawan selepas meraih kemenangan 1-0 di Stamford Bridge, di sini, sebentar tadi.
Jaringan Gabriel Jesus pada minit ke-53 sudah cukup untuk skuad kendalian Pep Guardiola meleburkan rekod tanpa kalah tuan rumah, sekali gus mencuri tiga mata berharga.
City kini melonjak ke tangga kedua liga selepas mengumpul 13 mata selepas enam perlawanan dengan empat kemenangan, satu seri dan tewas sekali.
Chelsea yang sebelum ini berada di puncak liga terpaksa akur jatuh ke tangga ketiga dan mengumpul jumlah mata sama dengan City, namun kekurangan dari segi perbezaan jaringan.
City akan mengharungi aksi getir selepas ini apabila menentang gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) di gelanggang lawan bagi aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara, pada Rabu ini.
Chelsea pula akan berdepan perlawanan sukar apabila bakal menentang kelab Itali, Juventus di Stadium Allianz, Khamis ini bagi saingan Kumpulan H.
Musim lalu, The Citizens tewas 1-0 di tangan Chelsea pada final Liga Juara-Juara pada Mei lalu. – MalaysiaGazette