LANGKAWI – Guru yang menolak vaksin COVID-19 mungkin ditukar ke tempat lain jika tindakan mereka menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata demi kepentingan perkhidmatan dan keselamatan pelajar, pihaknya sedang melihat cara untuk membawa keluar guru terbabit dari sekolah yang bermasalah dan antara solusi ialah melakukan pertukaran tempat mengajar.
“Sebelum ini, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka tetapi kena hadir ke sekolah dan akan ditempatkan di tempat khas dan ada tugasan untuk mereka.
Beliau berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan pertukaran tempat mengajar termasuk melibatkan perpindahan antara negeri mungkin terpaksa dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Radzi berkata di peringkat awal, guru yang enggan divaksin sudah diberi nasihat dan tempoh secukupnya untuk mengambil vaksin.
Beliau berkata untuk tindakan lanjut, pihaknya masih menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung bentuk tindakan bersesuaian terhadap guru terbabit.
Mengulas vaksinasi remaja, Radzi berkata ketika ini, kesimpulan masih belum dapat dibuat mengenai perjalanan proses itu namun pihaknya melihat ia berjalan dengan sangat baik dan teratur.
“Program vaksinasi remaja baru bermula dan kita sedang pantau penerimaan ibu bapa… tapi setakat ini, penerimaan cukup baik dan ibu bapa bersemangat menghantar anak ambil vaksin dan kita akan terus pantau keadaan ini,” katanya.
— BERNAMA