Home Sukan Saya akan bangkit semula – Bruno

Saya akan bangkit semula – Bruno

Bruno Fernandes. Foto Sky Sports.

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes meluahkan isi hatinya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-93 sekali gus membolehkan Aston Villa menang 1-0 di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Lebih memeritkan, ia merupakan kekalahan buat kali pertama United dalam EPL dan sepanjang tempoh 12 tahun lalu kepada Villa.

Bintang antarabangsa Portugal itu berkata, dia kecewa dengan kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti apatah lagi mengecewakan peminat United.

“Tiada siapa yang lebih kecewa dari saya selepas mensiakan sepakan penalti semalam.
Saya sentiasa bersedia dalam apa pun tekanan dan berjaya beberapa kali menyelesaikan tugas yang diberikan. Dan saya akan terus berbuat perkara yang sama.

“Mendengar peminat masih bersorak nama saya selepas wisel penamat ia sangat bermakna. Saya pasti akan bangkit semula untuk diri sendiri kerana itulah mentaliti saya, juga buat rakan sepasukan dan peminat-peminat,” katanya menurut laporan Sky Sport.

Fernandes mensia-siakan sepakan penalti yang turut membuatkan United kalah di tempat sendiri dua perlawanan berturut-turut.

Kortney Hause meletakkan Villa di hadapan menerusi tandukan deras pada minit ke-88 sebelum pertahanan itu memegang bola untuk menghadiahkan talian hayat kepada tuan rumah.

Namun, sepakan penalti Fernandes tinggi melewati palang untuk menamatkan rekod tanpa kalah United pada musim ini.

Selepas tersingkir awal daripada Piala Liga di laman sendiri, United kini gagal untuk menang atau menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir mereka. – Agensi