KUALA LUMPUR – Pencarian asal usul Covid- 19 harus dilakukan secara meluas di seluruh dunia dan tidak hanya tertumpu pada sesebuah negara sahaja.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, siasatan bersandarkan fakta saintifik amat penting dalam usaha memahami asal usul virus yang kini telah meragut lebih 4.5 juta nyawa itu.
“Sebelum ini, terdapat pelbagai pelbagai dakwaan menyatakan masyarakat Barat dan Eropah telah menunjukkan simptom lebih awal berbanding kes pertama dilaporkan di Wuhan, China pada Disember 2019.
“Biar pun sudah hampir dua tahun pandemik ini ‘menyerang’ dunia, laporan seperti ini harus disiasat secara telus dan negara yang terlibat harus memberikan kerjasama bagi memastikan segala dakwaan yang dilemparkan ini tidak dipandang enteng kumpulan penyelidik,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Dr Zainal berkata, untuk mengesan asal usul sesuatu virus bukan kerja mudah, namun hasil pencarian itu akan dapat mengelak sebarang kemungkinan yang lebih serius berlaku.
“Secara teknikalnya, punca asal Covid-19 ini boleh ditemui tetapi ia akan menelan masa yang lama sehingga berbelas tahun sekiranya terdapat negara yang enggan memberi kerjasama dalam usaha mencari asal usul Covid-19 ini.
“Selain itu, jika terdapat campur tangan politik dalam usaha ini, ia akan mengagalkan segala usaha pakar penyelidik dalam menyediakan fakta saintifik berhubung virus ini.
”Disebabkan itu siasatan ini harus dilakukan secara adil dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat berganding bahu dalam usaha mencari punca utama Covid-19 ini agar langkah pencegahan yang lebih mampan dapat dilakukan bagi mengelak tercetusnya varian pandemik baharu.
Pada 27 Mei lepas, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengarahkan agensi perisikannya menyiapkan laporan mengenai asal-usul Covid-19 dalam tempoh 90 hari.
Bagaimanapun, laporan siasatan yang telah lengkap pada penghujung Ogos itu menyatakan pihaknya tidak menemukan kata putus mengenai punca wabak itu. – MalaysiaGazette