KUALA LUMPUR – Bekas penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff tampil menawarkan diri untuk kembali bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
Kata Ahli Dewan Negara itu, sudah tiba masanya untuk beliau kembali bertanding sekaligus membawa perubahan dalam politik.
“Selepas mempertimbangkan pandangan kawan-kawan dan juga selepas mengambil kira nasihat dan pandangan keluarga terutama ibu dan isteri, saya dengan rendah diri berpendirian untuk menyahut saranan untuk kembali menawarkan diri di pilihan raya akan datang.
“Selepas lebih 20 tahun bersama perjuangan reformasi, saya percaya perubahan politik adalah sangat penting dan perlu diteruskan,” kata ahli PKR itu dalam laman sosial beliau hari ini.
Untuk makluman, Yusmadi pernah menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Norraesah Mohamad dengan hanya majoriti 708 undi pada Pilihan Raya Umum ke-12.
Bagaimanapun Yusmadi kemudian tidak dicalonkan sebagai calon pada PRU-13 sebaliknya digantikan dengan Datuk Mohamad Bakhtiar Wan Chik namun kerusi itu hanya dimenangi oleh beliau pada PRU-14.
Tulis Yusmadi, beliau memerlukan bantuan dari semua pihak bagi merealisasikan bagi mencapai matlamat ini kelak.
“Segala bantuan, kepakaran, sumber kewangan dan material amat diperlukan. Ini hanya dapat dilakukan jika terdapat semangat muafakat yang kuat di kalangan rakyat dan pemimpin yang mempunyai cita-cita dan misi yang sama.
“Kepada yang mempunyai cita-cita dan misi yang sama dan percaya kepada kemampuan kita bersama, anda boleh DM (pesanan) nama dan nombor telefon. Saya akan hubungi anda untuk berbincang langkah seterusnya,” ujarnya.
Yusmadi merupakan pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan calon pertama kali bertanding di kerusi Parlimen Balik Pulau pada PRU 2008 serta menang kerusi tersebut.
Jelas pemimpin itu lagi, dirinya ingin mengubah nasib masyarakat melalui politik memandangkan cabaran pada PRU akan datang agak berbeza dari sebelum ini. – MalaysiaGazette