Home Nasional 11 ditahan masuk hutan simpan kekal tanpa kebenaran

11 ditahan masuk hutan simpan kekal tanpa kebenaran

Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

IPOH – Sebanyak 11 individu termasuk seorang wanita ditahan selepas memasuki Hutan Simpan Amanjaya di daerah Hulu Perak, awal pagi tadi.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pihaknya telah menahan kesemua individu terbabit kira-kira 1 pagi selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di hutan simpan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Hutan Simpan Amanjaya dan sedang menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi tujuan aktiviti perkelahan.

“Kesemua individu tersebut didapati melakukan kesalahan kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak setelah gagal mengemukakan dokumen kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditangkap manakala lima buah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan disita dan dibawa ke stor rampasan di Bandariang, Gerik.

Katanya, individu terbabit yang ditahan di Balai Polis Gerik dilepaskan dengan bon jaminan polis.

Kesalahan berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985  iaitu kesalahan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, ia akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” katanya. – Bernama