KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain lega dengan kemenangan pertama menewaskan Kuching City FC dalam aksi Kumpulan B Piala Malaysia semalam, apatah lagi apabila pasukannya tidak merasai kemenangan sejak empat perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini.
Namun, berdepan Selangor FC pada Rabu ini dijangka tidak mudah meskipun Terengganu mempunyai rekod lebih baik dalam saingan liga selepas dua kali menewaskan skuad kendalian Karsten Neitzel pada musim ini.
“Memang satu kelegaan untuk kami, tahniah kepada semua pemain kerana memberikan persembahan terbaik malam ini.
“Kita sememangnya memerlukan kemenangan ini selepas tidak menang dalam empat aksi liga terdahulu, jadi sekarang dapat rasa balik nikmat kemenangan itu memang bagus untuk moral pemain saya.
“Sekarang yang penting adalah berdepan Selangor, dan saya memang dah lupa pasal saingan liga sebab perlawanan sekarang adalah berbeza, di mana kita tahu keadaan Selangor sekarang lebih baik berbanding sewaktu yang kita menang dua perlawanan dengan mereka sebelum ini”, katanya.
Satu lagi perlawanan kumpulan B menyaksikan Selangor FC turut meraih tiga mata selepas menewaskan Perak FC 1-0.
Empat perlawanan akan berlangsung pada malam ini membabitkan aksi kumpulan C di mana Kedah Darul Aman FC akan menentang Kelantan United FC dan Melaka United FC berdepan Negeri Sembilan FC.
Manakala bagi kumpulan D pula menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melawan Kelantan FC dan PJ City FC menerima kunjungan Sabah FC. – MalaysiaGazette