KUALA LUMPUR – Melihat kepada senario dan prestasi politik hari ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui beliau kurang berpuas hati.
Katanya, politik wang yang diamalkan segelintir pemimpin telah menghalang kemasukan ramai orang terutamanya golongan muda dalam UMNO.
“Mereka yang memegang wang telah mengongkong kedudukan itu.
“Mereka tidak mahu ada saingan langsung dalam parti. Ini saya sifatkan sebagai kecelakaan yang telah membantutkan kemajuan dalam parti itu sendiri daripada segi kemampuan dan idea,” kata bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO ketika menjadi tetamu program Owh!MG.
Menurut beliau, ketika ini UMNO seharusnya membuka peluang lebih terbuka dan menerima idea daripada orang muda untuk membantu menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.
“Kita ada banyak masalah dalam negara ini. Kita mahu idea-idea yang baik, boleh membantu rakyat.
“Seperti saya katakan sebelum ini, jika tidak diberi peluang, parti ini akan tidak ke mana,” katanya lagi.
Mengulas mengenai UMNO lama yang ingin dihidupkan kembali, Tengku Razaleigh berkata, ada syarat-syarat supaya mereka yang ingin bersama mempunyai sifat-sifat baik dan boleh diterima masyarakat.
“Sesiapapun, kerana itu ucapan saya di Parlimen minggu lalu, saya kata UMNO asal ini dapat digerak semula akan menerima sesiapa sahaja daripada kalangan orang Melayu untuk menyertai, kita alu-alukan,” katanya.
Ditanya, apakah kemungkinan akan menjalin kerjasama bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh tidak menafikan perkara itu.
“Saya tidak membeza tali persahabatan untuk membentuk kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan tidak menghalang kemajuan yang diperjuangkan oleh saya atau badan yang saya menjadi anggotanya.
“Untuk kita menghasilkan cita-cita kita bersama, tidak ada niat atau tujuan sedemikian rupa.
“Kalaupun nak adakan kerjasama dengan Dr Mahathir misalnya, untung rugi akan menjadi asas perkiraan kita sama ada boleh atau tidak kita bekerjasama,” katanya. – MalaysiaGazette