KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.
Program-program itu adalah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik.
Selain itu, penubuhan Centre of Excellence for Future Industry (Pusat Kecemerlangan bagi Industri Masa Depan), dana harta intelek dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.
“Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMKe-12,” katanya semasa membentangkan usul RMK12 di Dewan Rakyat di sini.
Malah, katanya, sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus.
Sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025. – MalaysiaGazette