Home Utama Audit: Maklumat diklasifikasi mandatori tidak disimpan dengan lengkap dalam sistem iJPN

Audit: Maklumat diklasifikasi mandatori tidak disimpan dengan lengkap dalam sistem iJPN

Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Maklumat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diklasifikasikan sebagai mandatori tidak disimpan dengan lengkap dalam sistem utama iJPN, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, antara kesannya mengakibatkan sejumlah 580 atau 0.1 peratus daripada 0.56 juta data kelahiran telah memperoleh taraf warganegara, namun tiada butiran terperinci mengenai kaedah pemerolehan taraf kewarganegaraan anak dalam sistem.

Selain itu, sebanyak 59,946 atau 0.3 peratus daripada 22.07 juta data kad pengenalan mempunyai perbezaan antara tarikh lahir dengan kombinasi enam digit dalam nombor kad pengenalan, menurut laporan itu.

“Pemantauan dan penyelarasan data kewarganegaraan dalam Sistem iJPN dan Sistem ePP juga tidak memuaskan mengakibatkan kelulusan permohonan kewarganegaraan dalam Sistem iJPN tidak dapat disahkan dengan Sistem ePP.

“Selain itu, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek semakan dan pengemaskinian data boleh menyebabkan maklumat yang dijana dalam Sistem iJPN menjadi tidak reliable dan tidak berintegriti serta boleh menimbulkan risiko kepada pangkalan data JPN,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan kelemahan Sistem iJPN membabitkan aspek perundangan serta peraturan mandatori dalam pemprosesan dokumen pengenalan diri yang tidak dikawal secara sistem, tiada integrasi antara modul dan submodul serta kawalan ID kurang memuaskan.

Oleh itu, JPN disyorkan mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan berkenaan dan memastikan pengurusan pendaftaran serta pengeluaran dokumen pengenalan diri mencapai objektif ditetapkan.

Laporan itu memaklumkan antaranya JPN perlu memastikan semua keperluan perundangan, peraturan dan SOP mandatori dalam proses pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri diwujud dan ditetapkan sebagai medan mandatori dalam Sistem iJPN.

Menurut laporan itu, JPN turut disyorkan menaik taraf sistem JPN bagi mewujudkan infrastruktur yang menyokong persekitaran digital dalam aspek pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri serta penyimpanan data yang dipercayai, selamat dan berintegriti.

Dalam pada itu, laporan itu menyatakan pengurusan dokumen pengenalan diri di JPN adalah memuaskan dengan pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri penduduk Malaysia diurus dengan memuaskan selaras akta dan peraturan semasa yang ditetapkan.

— BERNAMA

 


1 Komen

  1. Dah terhantuk barulah tergadah, tetapi buat tak kisah je para talibarut dan tentera komunis China aka PKM yang ditubuhkan dan dibiayai oleh Tanah Besar Komunis China sehingga 1989 pun dikenang jasa dianugerah kerakyatan tempatan kononnya dah dok lama macam adik-beradik walaupun melahap babi dan mabuk todi. Padan muka Pak Pandir modern mendukung biawak hidup.

Comments are closed.