Home Nasional Banduan juga diberi vaksin – Timbalan Menteri Dalam Negeri

Banduan juga diberi vaksin – Timbalan Menteri Dalam Negeri

Gambar Hiasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Banduan dalam penjara di seluruh negara  diberikan suntikan vaksin Covid-19 bagi mengelakkan penularan virus itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Ismail Mohamed Said.

Jelasnya, pemberian suntikan kepada banduan termasuk kakitangan penjara dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kita yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan semua anggota dan client (banduan) dalam penjara menerima suntikan vaksin dan kita buat berkala supaya tindakan dapat dilakukan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) sama ada banduan dalam negara ini diberikan vaksin Covid-19.

Terdahulu Ismail berkata, sebanyak 51,123 kes kumulatif jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan, kakitangan penjara dan keluarga, termasuk sembilan bayi dilaporkan sehingga kini.

Mengulas lanjut, tambah beliau, banduan yang menghidap penyakit berjangkit seperti TB dan kusta akan diasingkan di dalam bilik khas bagi mengelakkan jangkitan.

“Kita juga mewujudkan klinik penjara dari pegawai perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan fasiliti wad dan bilik khas rawatan bagi tahanan dan banduan yang tidak mampu menguruskan diri.

“Penjara Malaysia memastikan kalau ada banduan mempunyai penyakit berjangkit, mereka akan diasingkan,” jelasnya.-MalaysiaGazette