SERI KEMBANGAN – Biar pun pernah bergelar banduan, kisah silam itu tidak pernah mematahkan semangat dan cita-cita Mohd. Hafiz Arbaee, 34, untuk berjaya dalam hidup.
Bapa kepada lima anak yang pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney ketika zaman remajanya kini menjalani kehidupan yang berjaya sebagai Pengarah Urusan, Fresh Expert Sdn. Bhd. (Fresh Expert) iaitu syarikat pengeluar jenama sabun pencuci pakaian jenama Dolive.
Siapa sangka, dunia bisnes berjaya mengubah hidup anak kelahiran Bagan Datuk, Perak ini yang sebelum ini pernah menjadi pemandu lori ais selama lima tahun.
Mohd. Hafiz tidak pernah malu dengan status dirinya sebagai bekas banduan malah bangga mampu mengejar impian untuk mengubah kehidupannya.
“Setakat ini, saya tidak berasa malu kerana ramai yang ada kisah silam lebih teruk daripada saya dan mereka pun boleh berjaya. Dan tidak semestinya kejayaan yang kita hendak capai ini kita kena belajar tinggi masuk universiti, tidak semestinya.
“Sebenarnya bergantung balik kepada diri kita, kita nak macam mana, kita yang kena ubah nasib diri kita,” katanya ketika ditemui di kilang Dolive di Bukit Serdang di sini hari ini.
Turut hadir isterinya merangkap pengasas Dolive, Nurul Hassrah Mohd Khori, 30, yang pernah menjadi kelindan lori untuk menenami suaminya menghantar barangan ais batu.
Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memberitahu, setiap manusia memiliki kisah silam sendiri namun mempunyai pilihan untuk tidak mengulanginya.
Katanya, apa yang paling penting, individu itu perlu melangkah ke hadapan dan tidak perlu menoleh ke belakang untuk menyesali apa yang terjadi.
“Saya memang ada kisah silam kalau hendak lupakan tidak boleh tetapi apa yang perlu buat, kita kena melangkah ke hadapan dan tidak perlu lagi tengok kisah silam.
“Kalau kita hendak toleh belakang dan nak ingat balik, kisah silam, sama ada fikir masyarakat terima kita atau tidak kita tidak boleh berjaya.
“Saya fokus matlamat apa yang hendak capai, dan tidak fikir apa orang hendak cakap, sebab kalau hendak fikir orang hendak cakap tentang kita, sampai kita mati pun orang akan bercakap tentang kita, jadi lebih baik fikir matlamat kita yang hendak capai untuk siapa,” katanya berterus-terang.
Mohd, Hafiz turut menasihati insan yang senasibnya agar fokus kepada apa yang dicita-citakan dalam hidup selepas keluar dari tirai besi.
“Nasihat saya kalau boleh fokus apa kita hendak capai dan mahu serta jangan ulang lagi kesilapan lama sebab benda ini tidak akan habis.
“Jika kita masuk lagi ke ‘dalam’, siapa yang menanggung susah nanti. Fikir tentang diri kita dan orang yang kita sayang. Jangan menyusahkan orang lain,” katanya jujur.
Bercakap tentang bisnesnya, Mohd. Hafiz mengakui pengalaman pernah menjadi pengedar sabun cuci pakaian jenama lain memberi kelebihan untuk dirinya membina nama dan mengembangkan strategi perniagaannya.
Kata beliau, walaupun mengambil risiko melaburkan RM500,000 untuk membuka kilang sendiri, dia dan isteri mengambil tindakan pantas untuk melakukan penambaikan dalam sistem pemasaran dalam masa singkat.
Ia terbukti ujarnya apabila jualan bulan pertama hanya 2,000 botol namun melonjak sebanyak kepada 15,000 pada bulan ketiga.
Hari ini kata Mohd. Hafiz, jualan Dolive mencapai 60,000 botol sebulan walaupun Fresh Expert Sdn. Bhd. hanya ditubuhkan pada 2018.
“Hendak buka kilang bukan senang kerana terdapat banyak cabaran utama terutama ketika berurusan dengan pihak pembekal untuk dapat margin dan kualiti yang baik. Banyak perkara perlu diperincikan pada peringkat awal bagaimana tidak mengambil barang mentah dalam kuantiti sedikit kerana menyebankan kos akan tinggi.
“Model bisnes kami menfokuskan kepada ejen dan stokis di mana ketika ini, Dolive memilik 30 master leader di seluruh semenanjung dan merancang menambah di daerah seperti Perak, Melaka dan Pantai.
“Jumlah ejen pula seramai 1, 500 dan pada peringkat awal, ia sangta mencabar kerana hendak perkenal jenama baru, pelan pemasaran yang betul dan kena ada ilmu untuk bergerak,” katanya.
Menutup perbualan, Mohd. Hafiz berkata, Fresh Expert menyasarkan jualan 500,000 botol sebulan pada tahun dengan fokus memperkenalkan jenama Dolive di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette