Home Seni Hidup Dulu kos minyak tak lepas, sekarang 8, 000 tiket terjual – Pengusaha...

Dulu kos minyak tak lepas, sekarang 8, 000 tiket terjual – Pengusaha feri

Kapten Rauna Mohamad Zain

ROMPIN –  Perkhidmatan feri ke Pulau Tioman yang dihentikan sementara waktu dan dihadkan perjalanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mengakibatkan ramai pengusahanya menanggung kerugian.

Namun sejak kebenaran merentas daerah dibenarkan melalui fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk di Pahang, ia memberi sedikit kelegaan kepada pengusahanya.

Salah seorang daripadanya, Mastura Ahmad yang gembira  apabila kebenaran merentas daerah membolehkan sektor pelancongan beroperasi semula dan mereka kembali ‘bernyawa.’

Mastura Ahmad

Semasa PKP, pengusaha feri hanya dibenarkan melakukan perjalanan dari jeti Teluk Gading ke Pulau Tioman dengan jadual selang sehari  bagi membantu penduduk pulau berkenaan berulang ke tanah besar.

Tambah Mastura, Majlis Daerah Rompin hanya membenarkan pihaknya untuk beroperasi tiga kali seminggu bukan sahaja kepada pelancong tetapi juga bagi tujuan membantu penduduk tempatan.

“Dahulu kos minyak tidak lepas apabila kena mengehadkan perjalanan, kos minyak tinggi, tak lepas dan perlu tanggung kos pekerja lagi.

“Setiap kali trip kos RM1, 000 lebih, kalau sekadar mengharapkan penumpang dalam kalangan orang pulau sahaja memang tak boleh menampung kos minyak.

“Kami tidak dapat siubsidi minyak sebab itu buat selang seli namun apabila sudah dibuka sekarang ia berita baik dan kami boleh mengisi penumpang berkapasiti penuh,” ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Buktinya sehingga kini, hampir 8, 000 tiket sudah terjual sejak penghujung Ogos lalu apabila perkhidmatan feri dibenarkan beroperasi bagi pelancong dan penududuk Pulau Tioman.

Lebih menarik, pihaknya turut menyahut baik seruan kerajaan untuk mewajibkan ujian calitan kepada pelancong yang  memasuki Pulau Tioman bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan juga mendapati trip feri pada hari pertama telah mewajibkan seramai 122 penumpang untuk menjalani ujian calit dan ia mendapat reaksi positif.

“Sekarang dapat kelonggaran dapat penuh isi penumpang, rasa bersyukur dapat hidup kembali. Dulu awal tahun beroperasi tapi orang ramai tak ramai, dan PKP 3.0 berhenti operasi, sebulan berhenti dan feri sudah mula menerima tempahan penuh,” katanya.

Feri ke Pulau Tioman menampung kapasiti 200 orang bagi saiz besar manakala 130 tempat duduk bagi saiz sederhana itu menawarkan harga tiket pergi balik sebanyak RM90 bagi dewasa serta  RM80 bagi kanak-kanak. – MalaysiaGazette