KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat untuk menarik balik lesen bagi pemandu yang berusia 70 tahun keatas.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian tersebut tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.
“Kementerian tidak pernah keluarkan arahan untuk mensyaratkan warga emas melebihi 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu, tidak pernah.
“Kerana kemampuan memandu berlainan, macam Ahli Parlimen Langkawi beliau dapat memandu dengan baik jauh lebih baik daripada orang yang gila-gila bawa kereta di atas jalan raya,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Ahad lalu, Ka Siong berkata, tindakan menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu berdasarkan umur mereka seharusnya merupakan pilihan terakhir selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi satu ujian yang diiktiraf.
Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada warga emas memandangkan faktor kesihatan seseorang warga emas boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Ka Siong berkata, kerajaan tidak boleh mengamalkan diskriminasi terhadap golongan warga emas berusia 70 tahun keatas.
Ini kerana, terdapat banyak faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya dan faktor usia bukan salah satu daripadanya.
“Ini tidak boleh ada diskriminasi bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas.
“Ini bukan pendirian MOT dan kita tidak berhajat pun nak tukar sebab kemampuan memandu itu bukan berdasarkan kepada faktor umur,” jelas Ka Siong lagi. – MalaysiaGazette