Home Ekonomi MOSTI kaji mekanisme atasi jurang penyelidik dalam sektor industri

MOSTI kaji mekanisme atasi jurang penyelidik dalam sektor industri

Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang mengkaji mekanisma yang bersesuaian untuk mempertingkatkan peratusan penyelidik dalam sektor industri bagi mengatasi jurang dengan negara-negara yang berpaksikan inovasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, berdasarkan data UNESCO Institute of Statistics Database.

Malaysia hanya mempunyai 15.83% penyelidik dalam sektor industri manakala 79.2% penyelidik berada di institusi pengajian tinggi.

Sedangkan negara-negara yang berpaksikan inovasi ini juga mempunyai lebih daripada 40% penyelidik mereka di dalam sektor industri.

”Saintis umpama jambatan yang menghubungkan pemahaman sains kepada rakyat, membolehkan kita mengaplikasikan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian.

”Mereka telah mengetengahkan pelbagai penemuan saintifik, menjana pengetahuan, mencipta peluang dan menterjemahkan penyelidikan mereka menjadi hasil berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada transformasi sosioekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2021 di sini hari ini.

Berikut adalah senarai penerima TRSM 2021:

Menurutnya, salah satu inisiatif yang sedang dijalankan oleh MOSTI adalah Researcher Industry Scientific Exchange (RISE) yang membolehkan penempatan penyelidik di industri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi meningkatkan produktiviti.

Jika dibandingkan perbelanjaan dalam negara kasar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Malaysia dengan negara maju, terdapat ruang dan peluang untuk negara memacu ekonomi inovatif yang lebih unggul sebagaimana negara-negara lain.

Ketika ini, Malaysia hanya membelanjakan 24.5% untuk aktiviti melibatkan prototaip, perintis dan peningkatan produk dan kekurangan pelaburan dalam aktiviti penyelidikan ekspertimental pra-pengkomersialan.

Di negara-negara lain yang berinovasi tinggi, mereka membelanjakan lebih daripada 50% untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.

Bagi menyelesaikan masalah ini, MOSTI menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030), telah memperuntukkan sekurang-kurangnya 50% dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk aktiviti penyelidikan pra-pengkomersialan.

Menurut beliau, pandemik Covid -19 telah banyak mengubah cara kehidupan seharian dan mendorong kita untuk mengaplikasikan sains, teknologi dan inovasi (STI) secara kreatif dan inovatif.

Usaha bersepadu antara para saintis di peringkat global telah menyaksikan penghasilan vaksin Covid-19 dalam waktu yang sangat singkat, sekali gus membuktikan para saintis memainkan peranan penting dalam penerapan pengetahuan dan teknologi seperti kecerdasan buatan, analisis data raya dan blok rantai bagi membuat keputusan kritikal berdasarkan fakta serta komunikasi maklumat.

Katanya, para saintismenggalas tanggungjawab yang besar untuk membantu Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi berlandaskan ekonomi yang diterajui inovasi menjelang 2030.

”Saya percaya bahawa minda yang cemerlang dalam komuniti saintifik serta jalinan kolaborasi yang berpaksikan sains, teknologi dan inovasi akan menghasilkan pembangunan bernilai tinggi kepada rakyat,” ujarnya.

Untuk makluman, sehingga hari ini, laporan Rangka Kerja 10-10 MySTIE telah dimuat turun sebanyak lebih 5,000 kali oleh para pengguna dari 49 buah negara dan angka ini kian meningkat dari masa ke masa, membuktikan rangka kerja ini turut dijadikan panduan strategik oleh negara lain.

“Oleh itu, besar harapan saya agar para penerima TRSM turut bersama-sama menggembleng tenaga dan menterjemahkan idea bertaraf dunia sama ada melalui projek rintis atau demonstrasi projek untuk penciptaan nilai dan menarik pelaburan perniagaan dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette