KUALA LUMPUR – Penang FC tidak rela meratapi sekali lagi kekalahan dalam saingan Kumpulan A TM Piala Malaysia selepas tewas mengejut 1-3 di tangan Sarawak United FC apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bandaraya, malam esok.
Penjaga gol Penang FC, Samuel Somerville yang masih diulit rasa kecewa di atas kekalahan pada Ahad lalu, mahu kebangkitan mampu dilakar skuad Harimau Kumbang biarpun dia menyedari bukan mudah untuk menumpaskan KL City FC yang kini berada di kemuncak prestasi.
Tambahnya, mereka tidak boleh menamatkan dua perlawanan awal TM Piala Malaysia tanpa sebarang kemenangan sebelum perlawanan ketiga yang dijadualkan pada 29 Oktober depan kerana situasi itu akan menyukarkan peluang Penang untuk mara ke suku akhir.
“Memang sangat kecewa kerana kami kalah di tempat sendiri pada perlawanan pembukaan dan mana-mana pasukan sudah tentu mengharapkan permulaan positif.
“Saya tidak nafikan pasukan dalam kumpulan kami agak kuat dan kekalahan dengan Sarawak United membuktikan sesiapa sahaja dalam kalangan kami boleh menang.
“Sekarang peluang kami untuk bangkit dan cuba mendapat tiga mata penting apabila berdepan KL City, situasi itu mampu meletakkan kami tidak berada dalam tekanan sebelum saingan Piala Malaysia berehat selama sebulan, ” katanya.
Dalam masa sama, Somerville menghormati kekuatan KL City FC yang hanya tewas sekali dalam 13 perlawanan terakhir dengan kekalahan tunggal dicatatkan semasa berdepan Johor Darul Ta’zim pada 12 September lalu.
Somerville melihat kredibiliti Bojan Hodak selaku ketua jurulatih KL City FC selain kualiti dimiliki pemain-pemainnya pasti memberikan laluan berduri buat Penang dalam meraih kemenangan.
“Biarpun mungkin rekod di laman lawan KL City FC mungkin tidak baik namun saya tidak mahu mengambil mudah terhadap mereka yang kebelakangan ini tampak mempamerkan kebangkitan ketara.
“Ditambah kami pernah menewaskan KL City FC semasa pertemuan di Stadium Bandaraya, mereka pasti akan cuba membalas dendam atas kekalahan itu malah kemenangan ke atas Sri Pahang pada aksi sulung pasti akan memberikan motivasi tambahan buat pasukan lawan, ” katanya.
Selain pertemuan Penang FC dan KL City FC, satu lagi perlawanan dalam Kumpulan A ialah membabitkan Sarawak United FC dan Sri Pahang FC di Stadium UiTM Shah Alam.
Pertembungan dua pasukan pilihan dalam Kumpulan B, Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin juga menjadi perhatian selepas kedua-duanya meraih kemenangan pada perlawanan pembukaan.
Melengkapkan saingan dalam Kumpulan B ialah pertembungan Kuching City FC dan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang. – MalaysiaGazette