KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hari ini mengumumkan jurulatih dari Jerman, Alexandre ‘Mano’ Polking sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Thailand bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 penghujung tahun ini.
Www.the-afc.com melaporkan, Mano Polking menjadi pilihan pengurus pasukan, Madam Pang berdasarkan pengalamannya menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Thailand pada tahun 2012 hingga tahun 2013.
Dia juga sangat memahami budaya bola sepak negara itu dan pernah membimbing beberapa kelab Thai League seperti Army United (2013), Suphanburi FC (2014) dan True Bangkok United (2014-2020) sebelum berhijrah ke Vietnam menjadi jurulatih Ho Chi Minh City pada musim 2020/2021.
“Piala Suzuki AFF 2020 menjadi antara kejohanan penting yang perlu dihadapi. Hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi, semua pasukan di ASEAN akan melakukan persiapan terbaik untuk menjadi juara walaupun berdepan kesukaran dari segi penularan wabak COVID-19.
“Jadual perlawanan Liga Thailand cukup padat dan persiapan skuad kebangsaan akan menjadi singkat. Oleh itu, kami hanya memilih jurulatih yang benar-benar faham dengan budaya bola sepak Thailand dan yakin dengan potensi Mano berbekalkan pengalamannya untuk membantu mencapai misi pasukan kebangsaan,” kata Madam Pang dalam kenyataan hari ini.
Madam Pang juga menjelaskan, bukan mudah untuk mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Akira Nishino dari Jepun yang dipecat pada Julai lalu.
Ini kerana beberapa kriteria perlu dipenuhi terutamanya pengetahuan mereka dalam bola sepak Thailand.
“Kami memahami penyokong mahu jurulatih yang terbaik tetapi realitinya bukan mudah. Kami perlu melihat rekod dan pengalaman jurulatih itu yang mana Mano Polking telah memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh FAT. Ini adalah perancangan jangka pendek untuk menilai prestasi jurulatih itu sebelum menawarkan kontrak lanjutan,” jelasnya.
Piala Suzuki AFF akan berlangsung pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 dan diadakan secara venue berpusat.
Tuan rumah kejohanan itu akan diumumkan secara rasmi pada penghujung bulan ini.
Thailand dan Singapura adalah dua negara yang telah memenuhi kriteria AFF untuk menjadi tuan rumah. – Agensi