SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula sistem perangkap sampah di sungai-sungai di negeri itu susulan pembuangan sampah berleluasa khususnya di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau memberi jaminan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pencemaran Sungai Chandong, Pulau Indah hingga menjejaskan aliran sungai tersebut.
“Saya akan dapatkan maklumat. Saya tak dapat maklumat lanjut, tak adil untuk saya bagi komen.
“Sepanjang Sungai Klang kita telah buat perangkap-perangkap sampah
“Mungkin kita tengok kembali bagaimana sistem perangkap sampah kita sebelum ini untuk pembersihan Sungai Klang.
“Ia sumbangan daripada sikap manusia masih lagi membuang sampah ke sungai berbanding dengan membuang sampah di tempat yang betul,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette pada Ahad lalu yang mendedahkan Sungai Chandong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang semakin tenat dengan longgokan sampah-sarap dan sisa industri yang dilupuskan secara haram.
Pencemaran sungai itu didakwa akibat pembuangan sisa industri daripada kilang-kilang berdekatan yang berlarutan sejak tujuh tahun lalu.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang, Nallan Dhanabalan yang memberi jaminan untuk membawa perkara itu kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette