Home Nasional Laporan JAS asas utama kilang bateri dibenar beroperasi semula – Amirudin

Laporan JAS asas utama kilang bateri dibenar beroperasi semula – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada Majlis Serahan Sumbangan Dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd Kepada Kerajaan Negeri dan Sumbangan Tabung Prihatin Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor bergantung kepada laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum membenarkan sebuah kilang bateri di kawasan perindustrian Jenjarom, Kuala Langat beroperasi semula.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarat utama kerajaan negeri sebelum sesebuah kilang dibenarkan beroperasi ialah perlu mendapatkan sokongan daripada JAS.

“Antara syarat kita apabila JAS memberikan sokongan dan pelepasan terhadap pengoperasian kilang tersebut.

“Kalau kerajaan negeri tidak membenarkan (kilang beroperasi) atas asas apa?

“Asasnya adalah laporan daripada JAS dan ia telah mengesahkan bahawa kilang selamat untuk beroperasi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Sabtu lalu, sekumpulan penduduk Kampung Jenjarom mengadakan bantahan terhadap pembukaan semula kilang bateri yang terletak di Jalan Sukepi, Kawasan Perindustrian Jenjarom.

Penduduk dan aktivis berkumpul di pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pagi Sabtu untuk berjumpa Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim untuk menyuarakan bantahan tersebut.

Bagaimanapun pengendali asal kilang tersebut telah menjual kilang kepada sebuah syarikat lain, Federal Power Holdings Sdn Bhd yang merancang untuk membukanya semula, kali ini untuk pengeluaran bateri solar.

MalaysiaGazette dimaklumkan penghasilan bateri solar yang dibangunkan Federal Power ini tidak menggunakan kaedah yang mencemarkan alam sekitar serta bebas daripada penggunaan plumbum.

Dalam pada itu, Amirudin juga mengakui bahawa beliau sendiri mengesahkan laporan JAS yang tidak menghalang kilang bateri itu beroperasi semula.

“Saya rasa dari segi kemahiran dan know how terhadap isu-isu yang dibangktikan itu kita bergantung dengan laporan JAS.

“Saya ingat lagi mesyuarat terakhir itu, saya mengesahkan saya mengingatkan kalau JAS kata tidak ada halangan dan kita boleh teruskan.

“Jadi asas itu yang dijadikan keputusan dan itulah laporan yang telah dibentangkan kepada kita,” katanya.

Menurut Amirudin lagi, kilang bateri tersebut bukan sahaja memenuhi syarat alam sekitar bahkan syarat-syarat lain turut memenuhi kehendak pihak berkuasa tempatan (PBT).

Syarat-syarat lain termasuk bangunan dan sebagainya itu bagi pihak MPKL, mereka anggap telah memenuhi keperluan PBT itu.

“Isu yang ditimbulkan dengan plumbum dan pencucian bateri proses kilang tersebut, itu pengesahan dibuat oleh JAS.

“Pihak majlis hanya melepaskan kebenaran itu diberikan pengesahan dan juga laporan oleh JAS terhadap pelaksanaannya.

“Kalau JAS tak beri, maknanya kita tidak akan benarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette