Home Utama Penyelesaian kes Ahmad Maslan bukan pengakuan bersalah – Peguam

Penyelesaian kes Ahmad Maslan bukan pengakuan bersalah – Peguam

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir bagi dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penyelesaian mahkamah membabitkan dua pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Maslan bukan pengakuan bersalah.

Peguamnya, Hamidi Mohd Noh berkata, proses penyelesaian ini dibuat mengikut undang-undang dan telah melalui proses telus dan teratur.

Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tidak ada sebarang kaitan dengan faktor-faktor politik atau luaran.

Malah, ia tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan pendakwaan yang terlibat.

”Keputusan mahkamah ini adalah satu penyelesaian menang-menang bagi semua pihak seiring dengan undang-undang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq hari ini.

Oleh itu, katanya, perintah pelepasan daripada kedua-dua pertuduhan ini perlu dihormati oleh semua pihak.

Malah, pihak pendakwa juga menyatakan tidak akan meneruskan pertuduhan tersebut.

Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq dalam kenyataan media itu menambah, proses penyelesaian ini bukan satu proses baharu kerana telah mengambil masa hampir setahun sebelum ia diterima dan direkodkan oleh mahkamah hari ini.

“Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak-pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di mahkamah selepas dimuktamadkan oleh pihak-pihak.

“Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing-masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” ujar beliau. – MalaysiaGazette