Home Sukan Piala Malaysia: NSFC tidak boleh tercicir mata

Piala Malaysia: NSFC tidak boleh tercicir mata

R Barathkumar. Foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Negeri Sembilan FC (NSFC), R. Barathkumar menganggap gelaran juara Liga Premier tidak memberi kelebihan kepada pasukan itu untuk ambil mudah perlawanan kedua kumpulan C, TM Piala Malaysia menentang Kelantan United FC, Jumaat ini.

Peluang tetap terbuka buat dua pasukan memandangkan NSFC dan Kelantan United masih kempunan tiga mata selepas masing-masing tewas dalam perlawanan pertama tempoh hari.

Jelasnya, pentas Piala Malaysia nyata berbeza daripada saingan liga dan meskipun di atas kertas skuad kendalian K. Devan dianggap sebagai pasukan pilihan, tetapi Barathkumar menjangkakan lawan mereka itu pastinya akan tampil dengan strategi yang berlainan untuk mencipta kejutan.

Apatah lagi, pemain berusia 29 tahun ini juga enggan sekadar menamatkan saingan berprestij ini di peringkat kumpulan sahaja seperti mana yang pernah dia capai ketika bersama PJ City FC pada musim 2018 hingga 2020.

“Pencapaian terbaik saya untuk Piala Malaysia memang sekadar di peringkat kumpulan sahaja, sebab itu saya harap untuk musim ini, kami mampu fokus untuk ke suku akhir terlebih dahulu.

“Piala Malaysia ini ibarat titik permulaan yang penting untuk karier sebenarnya, jadi kita akan cuba sebaik mungkin untuk tidak lagi tercicir mata.

“Kita tidak boleh ambil mudah sebab kita tidak tahu sejauh mana kekuatan lawan sekarang ini, dan Negeri Sembilan pun dah tutup fasa kemenangan dalam Liga Premier, jadi sekarang pasukan kena fokus Piala Malaysia dan fikirkan cara terbaik untuk tewaskan Kelantan United nanti”, jelasnya.

Empat perlawanan akan berlangsung terlebih dahulu pada malam ini membabitkan pasukan di Kumpulan A iaitu Sarawak United FC menentang Sri Pahang FC dan Penang FC berdepan Kuala Lumpur City FC.

Manakala bagi Kumpulan B, Terengganu FC menerima kunjungan Selangor FC dan Kuching City FC pula akan menentang Perak FC. – MalaysiaGazette