Home Nasional Projek tebatan banjir 100 tahun dijangka siap setahun lagi – Amirudin

Projek tebatan banjir 100 tahun dijangka siap setahun lagi – Amirudin

Amirudin Shari

SHAH ALAM – Projek tebatan banjir untuk tempoh 100 tahun di Selangor dijangka siap pembinaannya sekurang-kurangnya setahun dari sekarang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembinaannya yang sebelum ini tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sedang buat dan saya nak maklumkan ia bukan boleh dibuat dalam tempoh dua bulan, ia mengambil masa paling minimum satu tahun untuk diselesai atau dilaksanakan.

“Sebahagian besar projek tebatan banjir kita sedang berjalan dan sebahagiannya agak terganggu dengan sebab PKP,” katanya pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS),” di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di sini, akibat hujan lebat lebih tiga jam, Ahad lalu.

Antara kawasan terjejas ialah sekitar Stadium Shah Alam di Seksyen 13 yang dinaiki air kira-kira 1.2 meter (m).

Beliau berkata, projek tebatan banjir sedia ada kini hanya mampu untuk menampung bagi tempoh 50 tahun sahaja dan ini menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di beberapa kawasan di negeri itu.

“Selepas kejadian banjir tahun lepas di Kajang, memang antara perancangan kita untuk meningkatkan kemampuan sistem saliran kita hingga ke 100 tahun.

“Setakat ini pelannya untuk 50 tahun, dengan 50 tahun itu kadang-kala kadar turun hujan itu melampaui (kemampuan),” katanya.

Dalam pada itu, kebanyakan kejadian banjir kilat di Selangor berpunca daripada kadar hujan yang tinggi melebihi kemampuan sistem saliran dan perparitan di negeri itu.

“Banjir di Selangor sebahagian besarnya adalah banjir kilat, ia disumbang oleh keadaan perparitan dan kadar air pasang laut di dalam negeri dan negara kita.

“Saya ingat di Sungai Serai Hulu Langat dan kawasan sekitar kadar turun hujan 104, kemampuan sungai dan juga perparitan adalah pada kadar 80.

“Sebenarnya pada kadar biasa 80 itu lebih daripada yang sepatutnya

“Apabila hujan turun lebih daripada angka yang mampu menampung, ia jadi satu limpahan di kawasan-kawasan terbabit,” jelasnya.

Selain itu, pihak sedang mengkaji kaedah baharu bagi pembinaan ban di sungai-sungai di Selangor bagi mengatasi masalah binaan itu pecah sebelum ia disiapkan.

“Kita juga sedang menukar kaedah bagaimana pembentukan ban, sebab acap kali ban dibuat, dan ban di situ juga yang pecah.

“Mungkin kita kena tukar bahan dan kegunaannya yang tidak hanya menggunakan tanah.

“Mungkin struktur dan bahan lain mampu menampung supaya ban itu tidak pecah dan menyebabkan banjir sebagai mana berlaku beberapa kali di Dengkil dan Kuala Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette